fb fb fb fb fb

Media massa kekal relevan sebagai sumber sahih

Ayneda Zairyn

KUALA LUMPUR, 26 Disember - Media massa masih kekal relevan dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat meskipun berdepan perubahan besar akibat perkembangan teknologi digital.

Menurut Koordinator Program Penyiaran Universiti Teknologi MARA (UiTM), Ayneda Zairyn, media massa telah melalui transformasi ketara daripada bentuk fizikal seperti radio, televisyen dan bahan cetakan kepada platform digital yang lebih mudah diakses melalui peranti pintar.

"Media massa masih relevan, cuma ia mengalami perubahan. Dahulu, media lebih bersifat analog atau fizikal seperti radio, televisyen dan bahan cetakan, contohnya surat khabar. Namun kini, kita telah memasuki era digitalisasi.

"Perubahan yang ketara dapat dilihat dari segi bentuk penyampaian, apabila radio dan set televisyen fizikal tidak lagi menjadi keutamaan, sebaliknya digantikan dengan platform digital. Walaupun berubah, media massa tetap relevan dalam menyampaikan maklumat yang berguna kepada masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu dalam Program Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Angkasapuri Kota Media di sini.

Peranan media massa juga kekal relevan sebagai satu sumber maklumat sahih, wadah pendidikan serta medium hiburan kepada masyarakat.

Mengulas mengenai kekuatan media massa, beliau menjelaskan bahawa profesionalisme pengamal media arus perdana menjadi faktor utama kepercayaan masyarakat terhadap kandungan yang disampaikan.

"Kekuatan media massa terletak pada pengamal medianya yang lebih profesional dan berwibawa, serta boleh dipercayai dalam menyampaikan maklumat. Pengamal media arus perdana dilatih untuk mendapatkan kandungan yang sahih dan menyampaikannya secara beretika serta bertanggungjawab.

"Berbeza dengan kandungan di media sosial, yang sumbernya kadangkala sukar dikenal pasti, maklumat yang disampaikan oleh media massa melalui pengamal media terlatih lebih diyakini," katanya.

Penggunaan peranti pintar merupakan adaptasi kepada media massa menjadikan landskap media hari ini bersifat hibrid, selari dengan keperluan masyarakat digital yang memerlukan kandungan berkualiti bagi membentuk pemikiran kritis dan membangunkan masyarakat.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI