fb fb fb fb fb

12 sungai di 3 negeri catat paras bahaya setakat 10 malam

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 Disember- Tiga sungai yang meliputi tiga jajahan di Kelantan melepasi paras bahaya setakat pukul 10.00 malam tadi berikutan hujan berterusan sejak beberapa hari lalu.

Menurut laman web rasmi publicinfobanjir.water.gov.my, di Kuala Krai, Sungai Kelantan merekodkan bacaan 25.33 meter (m) melebihi paras bahaya 25m.

Di Tanah Merah, Sungai Kelantan di Kusial merekodkan bacaan 16.31m melebihi paras bahaya 16m.

Turut melepasi paras bahaya ialah Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas yang merekodkan bacaan 10.5m melebihi paras bahaya 9m.

Selain itu, dua sungai di Kelantan merekodkan bacaan melepasi paras amaran, manakala satu lagi sungai merekodkan bacaan waspada.

Dalam pada itu, di Terengganu pula, tiga sungai membabitkan tiga daerah di Terengganu melepasi tahap bahaya setakat pukul 10.00 malam tadi.

Menerusi laman web itu, satu sungai di Dungun melibatkan Sungai Dungun di Jambatan Jerangau merekodkan bacaan 14.39m telah melebihi paras bahaya 12.5m.

Satu sungai di Kemaman ialah Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman pula mencatat bacaan 4.58m telah melebihi tahap bahaya 4m.

Selain itu, satu sungai di Kuala Terengganu membabitkan Sungai Terengganu di Drawbridge meningkat kepada 2.28m telah melebihi tahap bahaya 1.8m.

Tiga sungai di Terengganu merekodkan bacaan melepasi paras amaran, manakala tujuh lagi sungai merekodkan bacaan waspada.

Sementara itu, di Pahang, enam sungai melebihi paras bahaya setakat pukul 10.00 malam tadi.

Menerusi laman web rasmi itu, ia melibatkan daerah Jerantut, Maran, Rompin, Temerloh dan Pekan.

Di Jerantut, Sungai Tembeling mencatat bacaan 60.87m melebihi paras bahaya 60m.

Pekan pula melibatkan Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini dan Sungai Pahang di Paloh Inai, masing-masing melebihi paras bahaya iaitu 16.75m dan 10.9m.

Sementara di Maran, Sungai Luit di Kampung Subuh mencatat bacaan 27.2m melebihi paras bahaya 27m.

Daerah Rompin membabitkan Sungai Keratong di Jalan Kota Bahagia yang mencatat bacaan 11.88m telah melebihi tahap bahaya 0.88m.

Sungai Rompin di Jambatan Kuantan/Segamat turut mencatat peningkatan aras air iaitu 10.07m, telah melebihi tahap bahaya 11m.

Tujuh sungai di Pahang merekodkan bacaan melepasi paras amaran, manakala 11 lagi sungai merekodkan bacaan waspada.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM