CHENG, 15 November -Seramai 12,722 pengguna telah berdaftar dengan aplikasi Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak (eCOSS) di Melaka setakat 31 Oktober lalu.
Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Kos Sara Hidup Melaka, Allex Seah Shoo Chin, berkata jumlah pengguna eCOSS meningkat setiap bulan iaitu 1,608 pengguna pada Ogos, 5,200 pengguna pada September, dan 5,914 pengguna pada Oktober.
Beliau menegaskan, meskipun penggunaan eCOSS belum diwajibkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), kerajaan negeri menggalakkan rakyat menggunakannya bagi mengelakkan ketirisan dalam pengedaran minyak masak bersubsidi.
“Dan untuk makluman, tadi saya ada juga tanya dengan pemain industri pasar raya.
"Setelah ada kawalan, memang sekarang kita boleh lihat pasaran minyak masak sentiasa mencukupi dan tidak seperti sebelum ini bila kita dengar banyak isu.
"Macam hari ini, siapa yang datang kita pun tak paksa dia. Kalau dia memang tak biasa, dia boleh tulis dalam kertas itu, tetapi pada masa sama kita buat galakan. Kita boleh tunjukkan", katanya demikian yang ditemui selepas meninjau pelaksanaan aplikasi tersebut di sebuah pasaraya di sini.
Aplikasi eCOSS sebelum ini diperkenalkan secara rintis menerusi Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) bergerak sejak Ogos lalu.