SHAH ALAM – Lebih 6,000 peserta memeriahkan penganjuran Larian Songket Antarabangsa 5.0 (ISR 5.0) anjuran Management and Science University (MSU) yang berlangsung pada sabtu.
Ia sekali gus meneruskan usaha universiti itu memartabatkan seni tenun songket dan telepuk sebagai warisan tekstil negeri Selangor.
Edisi kelima penganjuran itu membawa tema “Eminence of Songket”, yang menonjolkan kehalusan tenunan benang emas iaitu elemen penting dalam budaya istana serta adat Melayu Selangor.
Acara larian sejauh 5km dan 10km berkenaan bermula dan tamat di kampus MSU di sini, dengan penyertaan pelbagai kategori termasuk Lelaki dan Wanita Terbuka serta kategori Veteran.
Acara pelepasan disempurnakan oleh Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, yang juga penaung program tersebut.
Selain kategori utama, penganjur turut memperkenalkan pengiktirafan khas seperti peserta paling muda, peserta paling senior, kumpulan terbesar dan pakaian paling kreatif bertemakan songket.
ISR 5.0 turut dimeriahkan dengan penyertaan penghuni rumah kebajikan termasuk Pertubuhan Amal dan Kebajikan Anak-Anak Tersisih Selangor (PAKATS), Rumah Anak Yatim Ulin Nuha, Rumah Kasih Harmoni, Bunga-Bunga Syurga Down Syndrome Malaysia serta pelajar Sekolah Bina Insan Yayasan MSU.