fb fb fb fb fb

112 kompaun terhadap peniaga di 87 bazar Ramadan di Kedah

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Kedah, Mansor Zakaria

JITRA, 18 Mac - Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah mengeluarkan 112 kompaun ke atas peniaga di 87 bazar Ramadan seluruh negeri ini atas pelbagai kesalahan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri Mansor Zakaria berkata, tindakan itu diambil selepas pemeriksaan ke atas 3,269 gerai dan 5,808 pengendali makanan dalam tempoh dua minggu pertama Ramadan.

Katanya, pemeriksaan itu dilakukan bagi mengelak kes keracunan makanan dalam kalangan pembeli yang membeli juadah di bazar Ramadan.

Kesalahan paling kerap adalah kegagalan menghadiri latihan wajib pengendalian makanan serta berpakaian tidak sesuai.

Kesalahan lain termasuk tidak mematuhi pemeriksaan perubatan dan keperluan kesihatan, tidak menjaga kebersihan diri serta mengabaikan kebersihan premis makanan.

"Tujuan kita buat ' 'walkabout'' ini sebab mahu memberikan pendidikan kepada peniaga -peniaga bukan setakat kompaun yang kita masukkan tetapi sekurang-kurangnya kita nak beri pendedahan kepada mereka mengenai kebersihan.

"Sebab itu kita syaratkan bawah pihak berkuasa tempatan (PBT), apabila kita nak ambil lesen, kita syaratkan mesti ada suntikan kursus pengendalian makanan," kata Mansor kepada pemberita selepas lawatan ke sebuah bazar Ramadan di Taman Seri Aman, semalam.

Sebanyak 5,808 pengendali makanan yang diperiksa di seluruh Kedah dengan 5,478 sudah menerima suntikan tifoid, manakala 4,922 menghadiri kursus pengendalian makanan.

TETITIA YUSOFF