KULAI, 7 Februari- Sebanyak 11 notis dikeluarkan kepada pembekal dan peniaga ayam segar di Johor, hasil pemeriksaan dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) semalam.
Tindakan dibuat bagi membolehkan mereka mengemukakan notis pengesahan maklumat mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan ( AKHAP) 2011.
Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata penguatkuasaan akan sentiasa dilakukan dengan memeriksa harga barangan terutama bahan mentah setiap hari bagi memastikan tiada berlakunya unsur pencatutan dan manipulasi harga.
"Sekiranya didapati ada unsur pencatutan dari segi kenaikan melampau agak drastik dan sebagainya, maknanya kita serahkan pula yang seterusnya notis bertulis, maknanya mereka perlu justify, kemukakan semua segala borang-borang dan maklumat berkaitan invois sepanjang mereka dapat harga-harga daripada pemborong dan sebagainya untuk menunjukkan betulkah terdapat unsur-unsur pencatutan", katanya selepas Program Pelupusan Ekshibit tahun 2023 di Kompleks Penyimpanan Ekshibit Johor di Kulai.
Tambahnya, menerusi pemeriksaan di lapangan, bekalan ayam segar di negeri ini masih mencukupi dan pemantauan berterusan akan dilakukan bagi memastikan tiada isu bekalan bahan mentah menjelang perayaan Tahun Baru Cina hujung minggu ini.