PUTRAJAYA, 4 Julai- Perlumbaan berbasikal jelajah, Le Tour de Langkawi (LTDL 2023) bakal kembali menggegarkan Malaysia kurang tiga bulan lagi.
Bagi penganjuran kali ini, perlumbaan akan melibatkan 11 buah negeri di semenanjung Malaysia kecuali Perlis.
Menurut Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, pihaknya dan Majlis Sukan Negara (MSN) telah cuba memanfaatkan sebaik mungkin kos yang diperuntukkan bagi menambah lagi kemeriahan perlumbaan tersebut.
"Dengan kos RM8 juta peruntukan oleh kabinet dan kementerian belia dan sukan (kbs), kita sehabis baik cuba sebanyak negeri yang boleh. Jadi kali ini semua negeri terlibat kecuali Perlis.
"Bagaimanapun kita sudah cuba sehabis baik untuk LTDL kali ini," katanya kepada pemberita di sini.
Perlumbaan LTDL kali ini akan melibatkan jarak keseluruhan sejauh 1,280 kilometer dan dijadualkan berlangsung bermula 23 hingga 30 September membabitkan lapan peringkat perlumbaan.
Sementara itu, LTDL kali ini dijangka akan diserikan lagi dengan penyertaan tiga pasukan bertaraf dunia.
Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, setakat ini tujuh pasukan berstatus profesional, 11 pasukan benua dan satu pasukan Kebangsaan Malaysia telah mengesahkan penyertaan.
"Sebanyak 70 pasukan sudah mengesahkan penyertaan, 11 pasukan benua dah confirm dan tiga pasukan dunia kita tengah tunggu mereka habis Tour de France," katanya.
Menurut Ahmad Shapawi, ketiadaan Langkawi dalam peta perlumbaan kali ini, disebabkan tambahan kos yang agak tinggi antaranya dari aspek logistik dan faktor laluan yang kurang selesa.
MSN sebelum ini pernah menjadi penganjur pada tahun 2012 sehingga 2014.
(Hannah Yeoh)