KEPALA BATAS, 27 Julai - Sebuah lagi ladang ternakan babi di Kampung Selamat, Tasek Gelugor, dijangkiti penyakit Demam Babi Afrika (ASF).
Ia sekali gus menjadikan keseluruhan empat ladang babi positif penyakit itu di Pulau Pinang.
Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang (JPVPP), Dr Saira Banu Mohamed Rejab berkata, keputusan itu diperoleh menerusi sampel ujian yang dijalankan.
Bagaimanapun tegasnya, penularan penyakit itu masih lagi berada dalam keadaan terkawal.
"Empat ladang telah postif, 1083 ekor babi telah dimusnahkan. Esok, kita akan mulakan proses pelupusan di Kampung Selamat sahaja kerana ia tidak menular ke tempat lain.
"Penternak diingatkan supaya meningkatkan biosekuriti di ladang dan tidak berkongsi lori untuk pemindahan ternakaan ke rumah sembeli dan mematuhi peraturan dan undang-undang Veterinar," tegasnya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Pulau Pinang di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Kepala Batas. Majlis, dirasmikan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.