fb fb fb fb fb

103 kilang terbakar dalam tempoh 5 bulan

Antara kilang yang dilaporkan terbakar / Foto BERNAMA

PULAU PERHENTIAN, 26 Jun - Sebanyak 103 kes kebakaran kilang dilaporkan dalam tempoh lima bulan yang berakhir pada Mei tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysi (JBPM) Datuk Ahmad Izram Osman berkata, negeri Selangor mencatatkan kes tertinggi dengan 35 kes.

Johor merupakan negeri kedua tertinggi melibatkan 19 kes kebakaran kilang, diikuti Perak sebanyak 11 kes dan Pulau Pinang dengan sembilan kes.

Pada tahun lalu, keseluruhan 433 kes kebakaran kilang direkodkan.

"Anggaran kerugian melebihi RM42 juta dan anggaran nilai yang berjaya diselamatkan melebihi RM182 juta untuk tahun 2024."

Jelasnya, walaupun kilang-kilang berkenaan musnah dijilat api, sehingga kini tiada sebarang kemalangan melibatkan kehilangan nyawa di lokasi kejadian.

Beliau ditemui pemberita sewaktu hadir menyempurnakan program Latihan Amal Bencana Kecemasan Luar Bandar (REDEX) di Pulau Perhentian, di sini.

Latihan bersepadu itu melibatkan 17 agensi dan 136 peserta dari pelbagai agensi keselamatan dan pengurusan bencana yang beroperasi di Terengganu.

"Biasanya kilang-kilang ini mempunyai sijil kebakaran (FC), jadi kebiasaannya kita membuat pengesahan sekali setahun.

"Kita pasti jika kilang-kilang itu melepasi tahap keselamatan kebakaran dan kita memperakukan mempunyai FC, dijangkakan tidak akan berlaku kebakaran dan biasanya tahap keselamatan itu mencukupi dan boleh mengelak berlaku kebakaran." katanya.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ