KOTA BHARU, 13 Mac- Seramai 101 orang tanahan warga asing dari Depot Imigresen Tanah Merah, dekat sini dihantar pulang ke negara asal, semalam.
Pengarah Jabatan Imigresen (JIM) Kelantan, Mohd. Faizal Shamsudin berkata, kesemua tahanan dihantar pulang melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang di Selangor.
Katanya, jumlah itu melibatkan 46 lelaki warganegara Myanmar, 21 lelaki (Indonesia), 12 lelaki (India) dan 7 lelaki (Bangladesh).
“Selain itu, lima wanita warganegara Indonesia, lima wanita (Myanmar), dua kanak-kanak (Indonesia) selain dua kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan (Myanmar),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Faizal berkata kanak-kanak warga asing itu masing-masing dihantar pulang bersama ibu bapa mereka.
Menurutnya, kesemua warga asing terlibat berusia antara 16 tahun hingga 57 tahun, manakala kanak-kanak pula antara satu tahun hingga enam tahun.
Ujarnya, kesemua warga asing itu sebelum ini melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.