fb fb fb fb fb

101 murid SK Chepor keracunan makanan

Sekolah Kebangsaan Chepor di Ipoh, Perak

IPOH, 26 September- Seramai 101 murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Chepor, di sini mengalami keracunan dipercayai selepas makan ayam goreng dan minuman coklat di kantin sekolah semalam.

Pengarah Kesihatan Perak, Dr Feisul Idzwan Mustapha, berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu melalui sistem e-pemberitahuan pada pukul 8.00 pagi semalam apabila lima murid menunjukkan gejala keracunan makanan seperti cirit-birit, muntah, sakit perut dan demam.

"Semua murid telah menerima rawatan di dua kemudahan kesihatan sekitar Ipoh. Ini mendorong Unit Kawalan Penyakit Berjangkit Pejabat Kesihatan Daerah Kinta menjalankan siasatan di sekolah berkenaan pada 10.30 pagi, semalam.

"Hasil siasatan pengesanan kes aktif, sejumlah 96 kes tambahan telah dikenal pasti menjelang jam 5 petang semalam, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 101 membabitkan 50 murid perempuan dan 51 murid lelaki," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sejumlah 101 kes menunjukkan gejala muntah, 84 kes mengalami cirit-birit, 68 kes mengalami sakit perut dan 24 kes mempunyai gejala demam.

"Tanda-tanda awal bermula pada tengah hari Selasa, manakala tanda-tanda terbaru semalam pada 8.00 pagi. Seorang murid dimasukkan ke wad kanak-kanak di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk rawatan dan kini berada dalam keadaan stabil.

"Seramai 62 murid lain menerima rawatan pesakit luar di klinik kesihatan berdekatan dan klinik swasta berhampiran rumah mereka. Murid lain hanya mengalami gejala ringan dan telah berehat di rumah. Semua kes dilaporkan dalam keadaan stabil," katanya.

Siasatan awal mendapati makanan yang disyaki menjadi punca keracunan adalah minuman berperisa coklat dan ayam goreng yang disediakan di dapur kantin sekolah.

"Pelajar melaporkan bahawa minuman berperisa coklat yang dijual di kantin pada hari Selasa mempunyai bau 'masam' ketika diminum.

"Mereka juga mengadu bahawa ayam goreng tidak dimasak sepenuhnya dengan sebahagian daging ayam masih mentah. Agen yang disyaki menyebabkan keracunan adalah Salmonella spp, berdasarkan gejala dan tempoh inkubasi kes," katanya.

Beliau berkata itu, Pejabat Kesihatan Daerah Kinta telah mengeluarkan arahan untuk menutup kantin sekolah selama 14 hari di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

"Selain itu, denda juga telah dikenakan atas pelanggaran memakai aksesori semasa mengendalikan makanan," katanya.

SITI AISHAH MD ISA