(Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming)
KUALA LUMPUR, 13 Januari - 'Memanfaatkan kebajikan rakyat agar tiada golongan yang ketinggalan.'
Demikian janji Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming untuk tempoh 100 hari perkhidmatannya di Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Inisiatif meliputi aspek perumahan, kemudahan awam, pengoperasian balai bomba baharu dan pengurangan jumlah sisa pepejal ke tapak pelupusan.
Untuk itu sebanyak 4,713 unit rumah akan diserahkan kepada rakyat meliputi Program Perumahan Rakyat (PPR), antaranya PPR Kuah dan Ulu Melaka.
Ini selain penyerahan penyelesaian projek sakit yang berjaya disiapkan di Ipoh, Perak dan Kota Tinggi, Johor.
(Foto fail)
Manakala Jabatan Perumahan Negara (JPN), Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) merupakan jabatan dan agensi bawah KPKT yang terlibat dalam pelaksanaan inisiatif ini.
Sementara itu, kerja-kerja menaik taraf 12 unit lif di PPR Kota Damansara, Kuala Lumpur akan dibaik pulih dan diselenggara untuk dimanfaatkan 4,608 golongan B40 yang menghuni di PPR tersebut.
Dalam tempoh tersebut itu juga, KPKT melalui Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) juga komited dalam usaha penutupan 100 lokasi tapak sampah haram dan pemerkasaan inisiatif kitar semula.