fb fb fb fb fb

10 Ribu pelajar UPM mula balik kampung

SERDANG, 1 Mei - Seramai 10,000 pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) dari Kampus Serdang, Selangor dan Bintulu, Sarawak, mula bergerak pulang ke kampung masing-masing secara berperingkat sempena cuti Aidilfitri kali ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Prof Dr Arifin Abdu berkata, pergerakan pulang pelajar sempena cuti Aidilfitri ini tidak seperti situasi sepanjang dua tahun berdepan pandemik Covid-19, di mana semua penghantaran pulang pelajar perlu mematuhi segenap prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) membabitkan jentera pelbagai entiti dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar UPM (MPPUPM) serta Majlis Perwakilan Kolej.

Kali ini para pelajar lebih selesa memilih untuk mengatur pergerakan sendiri pulang berhari raya di kampung dengan dijemput menggunakan kenderaan keluarga, selain menggunakan kenderaan sendiri dan tidak kurang juga yang memilih untuk menggunakan pengangkutan awam seperti perkhidmatan bas atau kapal terbang.

Arifin berkata, pihaknya menyediakan secara purata enam buah bas setiap hari bagi menghantar pelajar ke KLIA sehingga pagi Hari Raya.


(Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Prof Dr Arifin Abdu)

“Sebahagian pelajar telah pulang ke kampung halaman sejak 16 April lalu bersempena cuti Nuzul Alquran dan tidak kembali semula ke kampus kerana tiada keperluan makmal atau sebagainya dan mengikuti kelas pengajian secara dalam talian di kediaman masing-masing,” tambah beliau.

Menurut Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) UPM, En Nuruliman bin Ibrahim, hasil bancian yang telah dijalankan menunjukkan 435 pelajar sahaja yang memilih tinggal di kampus sepanjang Aidilfitri.

Pihak BHEP dengan kerjasama kolej-kolej kediaman telah memastikan semua pelajar disediakan dengan perkhidmatan makanan bermula dari malam raya hingga ke hari raya kedua.

"Semua pelajar berkenaan akan disantuni sebaik mungkin supaya suasana Aidilfitri turut diraikan bersama-sama," katanya di sini.

Media Baharu