fb fb fb fb fb

Penduduk lega harimau masuk perangkap

KEMAMAN, 1 Mei - Kebimbangan kira-kira 300 keluarga di Perumahan Rantau Bukit, di sini dengan kemunculan seekor harimau kumbang sejak seminggu lalu akhirnya selesai selepas haiwan liar itu berjaya ditangkap pada awal pagi tadi.

Harimau kumbang betina seberat antara 30 hingga 40 kilogram itu berjaya ditangkap kira-kira jam 5.30 pagi tadi dengan menggunakan sebuah perangkap yang dipasang sejak Isnin lalu.

Kelibat haiwan liar yang dipercayai tersesat dari Hutan Simpan Bukit Palus dekat bandar Kerteh itu telah menyebabkan penduduk di kawasan berkenaan hidup dalam kebimbangan dan tidak selamat.

Harimau kumbang berkenaan sering dilihat berkeliaran di kawasan halaman kediaman penduduk dan keadaan itu menyebabkan mereka tidak berani keluar dari rumah mereka.

Keadaan itu juga dibimbangi akan mendatangkan bahaya kepada pekerja dan pengawal keselamatan yang sering bertugas di sekitar kawasan perumahan itu yang berisiko diserang terutamanya kanak-kanak.

Mereka bersyukur kerana haiwan liar berkenaan berjaya ditangkap dan kini mereka tidak perlu bimbang untuk melakukan aktiviti harian sebagaimana sebelum ini.


(Harimau kumbang betina seberat antara 30 hingga 40 kilogram berjaya ditangkap)

"Syukur alhamdulillah sebab sekarang bulan puasa, budak-budak pergi tarawih naik basikal, jadi kita risau, dan bila harimau dah ditangkap, harapnya tiada lagi keturunan harimau ini datang lagi, dan alhamdulillah lah kucing pun kita sudah boleh lepaskan macam biasa," kata Nor Azlinda Saadon, penduduk kampung di sini.

"Harimau dah tangkap rasa selamat, di rantau bukit ini, kita nak membuat rondaan pun rasa selamat, budak - budak, orang surau dan orang sekitar kampung ini hendak pergi sembahyang tarawih pun selamat," kata Mohd Yazid Yusri, pengawal keselamatan kampung di sini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Terengganu, Loo Kean Seong ketika dihubungi mengesahkan mengenai penangkapan haiwan liar itu.

Menurut Loo, pihaknya telah menggunakan umpan ayam yang diletakkan di dalam sebuah perangkap bagi menangkap harimau kumbang berkenaan.

Loo berkata, harimau kumbang berusia antara 6 hingga 7 tahun itu akan dihantar ke habitat asalnya di sekitar kawasan hutan Terengganu yang jauh dari penempatan manusia bagi memastikan ianya tidak mengganggu penduduk lagi.

Media Baharu