fb fb fb fb fb

Aidilfitri: Pengusaha bas persiaran kembali bernafas

ALOR SETAR, 1 Mei - Pengusaha bas persiaran kini boleh menarik nafas lega apabila perkhidmatan tersebut kembali beroperasi selepas dua tahun menyepi akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, PKP bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Malah perkhidmatan bas persiaran mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai terutama mahasiswa dan mahasiswi Institusi Pengajian Tinggi Awam, (IPTA) yang mahu pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung halaman masing-masing.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Bintong Ekspress and Holidays Sdn Bhd, Zambri Mat, untuk perayaan kali ini, kesemua 18 buah bas persiaran milik syarikatnya telah habis ditempah oleh mahasiswa dari Universiti Malaysia Perlis, (UNIMAP) melibatkan perjalanan dari Perlis ke Lembah Klang dan Pantai Timur.

Manakala perjalanan Universiti Teknologi MARA, UiTM Shah Alam dan Puncak Perdana menuju ke Pantai Timur dan Utara.

Beliau berkata, bas berkenaan disewa dan diselaras oleh Majlis Perwakilan Pelajar, MPP di IPT berkenaan dan harga tiket yang ditawarkan juga lebih rendah berbanding bas ekspress.


(Perkhidmatan bas persiaran mendapat sambutan menggalakkan)

Katanya, penghantaran kira-kira 1,400 mahasiswa dan mahasiswi ke destinasi masing-masing dilakukan secara berperingkat-peringkat bermula 29 April hingga semalam.

"Alhamdulillah dengan izin Allah SWT perniagaan kami boleh kembali beroperasi dan juga dapat kembali memberi perkhidmatan kepada masyarakat untuk pulang berhari raya di kampung halaman selepas dua tahun tidak mengecapi nikmat berhari raya bersama keluarga.

"Daripada pihak kami pengusaha-pengusaha bas persiaran syukurlah diatas keputusan yang pihak kerajaan buat yang tepat untuk memberi kelonggaran membuka kembali perniagaan-perniagaan, pasaran ekonomi dan seterusnya mampu mengembirakan semua rakyat Malaysia untuk menyambut lebaran pada tahun ini," katanya kepada RTM selepas membawa anak-anak yatim dan asnaf membeli kelengkapan hari raya Aidilfitri di sebuah pusat beli belah di sini.

Seramai 50 anak-anak yatim dan asnaf dari kawasan Dewan Undangan Negeri, DUN Alor Mengkudu menerima sumbangan pembelian kelengkapan hari raya berjumlah 200 ringgit setiap seorang daripada Bintong Ekspress & Holiday.

Manakala syarikat Usima Sdn Bhd menyumbang sejumlah wang zakat kepada penerima yang layak.

Media Baharu