fb fb fb fb fb

10 keluarga dipindahkan ke PPS akibat banjir lumpur

FOTO RTM

DUNGUN, 16 Disember- 38 penduduk dari 10 keluarga di penempatan projek perumahan rakyat termiskin (PPRT) Kampung Tebing Tembah, Dungun, terpaksa dipindahkan ke pusat perpindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Tebing Tembah selepas kediaman mereka dilanda banjir lumpur ekoran hujan lebat sejak semalam.

Hujan lebat mengakibatkan aliran air dari kawasan air terjun berhampiran turut membawa lumpur dan membanjiri rumah penduduk dengan timbunan lumpur yang agak tebal dalam tempoh kira-kira satu jam.

Menurut penduduk terlibat, hujan yang turun sejak jam tujuh malam semalam menyebabkan banjir lumpur menenggelami penduduk kira-kira pukul 3.00 pagi tadi.

Bagaimanapun keadaan cuaca baik awal pagi tadi membolehkan penduduk terjejas membersihkan rumah mereka dengan dibantu sepasukan anggota tentera 18 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Kem Seri Pantai.

Beberapa penduduk yang ditemui berkata banjir di kawasan kediaman tersebut surut dengan cepat, namun keadaan itu sering berulang setiap kali hujan lebat berlaku dalam tempoh yang agak lama.

Salah seorang penduduk, Mohd Saufi Izami Nazim berkata sistem perparitan yang tidak terurus menjadi punca kepada masalah banjir lumpur berkenaan.

"Parit yang ada tidak dalam. Bila hujan keadaan bertambah buruk. Air mengalir dengan perlahan dan menyebabkan air bertakung yang menebabkan banjir.

"Saya berharap agar masalah perparitan dapat diselesaikan segera kerana bimbang kejadian banjir lumpur akan berulang", katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Tambah Mohd Saufi, keadaan itu turut menyebabkan anak sungai berhampiran kawasan Air Terjun Panchor tersumbat dan menyebabkan air melimpah dan memasuki kediaman mereka dengan cepat.
 

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD