KUALA LUMPUR, 4 Februari- Hampir 1,500 jemaah termasuk pegawai dan anggota polis hadir sempena program #GengSubuhMacamJumaatPDRM di Masjid Bukit Aman, di sini, hari ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang turut serta menyifatkan program seumpama dilihat mampu memberi impak positif kepada pembentukan ummah khususnya dalam kalangan pasukan dan masyarakat amnya.
"Solat berjemaah merupakan satu syiar yang perlu ditunaikan umat Islam dan merupakan wasilah cara memupuk kebersaman, muhibah, perpaduan dan kerjasama dalam konteks kesatuan ummah.
"Bertepatan dengan tema 'Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada, pada hari ini mampu mendekatkan PDRM di hati masyarakat. Besar harapan saya aktiviti seumpama diteruskan secara istiqamah pada masa-masa akan datang," katanya ketika memberi ucapan ringkas selepas selesai menunaikan solat Subuh berjemaah.
Antara yang hadir termasuk, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain; dan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad.
Dalam pada itu, Razarudin menzahirkan rasa bangga apabila program #GengSubuhMacamJumaat yang dicetuskan oleh selebriti, Alif Satar itu menjadi fenomena bukan sahaja di Malaysia, malah di negara-negara jiran.
Program itu turut dimeriahkan dengan kehadiran bilal jemputan iaitu vokalis kumpulan Khalifah, Mohamad Qidam Abdullah atau lebih dikenali sebagai Yabang.
Selain itu turut diadakan acara larian yang disertai selebriti Alif Satar dan penceramah undangan, Mohd Affendi Mohamed Nor atau lebih dikenali Pencetus Ummah (PU) Fendi.