GEORGETOWN, 11 Mei - Kementerian Dalam Negeri (KDN) melupuskan sebanyak 1.5 tan abu bahan dan teks al-Quran di perairan berdekatan Pulau Kendi, di sini hari ni.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, proses pelupusan adalah sebahagian daripada usaha 'Ke Arah Sifar al-Quran Tiada Perakuan KDN' pada pukul 10.30 pagi tadi.
"Kira-kira 2,750 naskhah al-Quran yang diproses menjadi bongkah abu dijalankan dengan kedalaman 18 meter di perairan Pulau Kendi, kira-kira 15 batu nautika dari Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Batu Uban.
"Pengumpulan teks dan bahan al-Quran menerusi tiga pendekatan iaitu penguatkuasaan, advokasi dan program komuniti (tanggungjawab sosial korporat).
“Melalui tindakan penguatkuasaan, pengumpulan teks dan bahan terhasil daripada rampasan al-Quran yang tiada perakuan daripada penjual, pengimport, pengedar di premis-premis jualan, simpanan, pintu-pintu masuk negara dan perniagaan secara online.
“Menerusi program advokasi antaranya kempen Jom Exchange al-Quran (JEQ) pula, kita kumpulkan al-Quran yang tiada perakuan KDN yang diserahkan secara sukarela oleh orang ramai dan kita tukarkan dengan al-Quran baharu,” katanya selepas menyempurnakan Program Pemuliaan (Pelupusan) al-Quran di sini, hari ini.
(Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah pada Majlis Penyampaian Cenderamata
dan Sidang Media Program Pemulian (Pelupusan) Al-Quran/FOTO FB Dr Shamsul Anuar)
Mengulas lanjut Shamsul Anuar berkata, kesemua abu daripada naskah berkenaan adalah yang dikumpul dari kawasan Pulau Pinang.
Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak membeli, menjual atau mengedar Al-Quran yang tiada perakuan KDN.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MRI) Kali ke-30 memutuskan bahawa al-Quran yang rosak, koyak, tidak lagi boleh dibaca atau bukan rasmi Rasm Uthmani (tidak diperakui KDN) hendaklah dilupuskan dengan tertib dan terkawal.
Keputusan itu dibuat pada 22 Ogos 1992 dan perlu melalui proses pendebuan dan pelepasan di laut atau ditanam di tempat tersembunyi bagi mengelak salah faham orang ramai.