fb fb fb fb fb

1.05 juta pekerja dijangka dapat manfaat dari Dasar Gaji Progresif

FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 30 November- Dasar Gaji Progresif dijangka memberi manfaat kepada 1.05 juta pekerja dengan andaian pemberian insentif daripada kerajaan sebanyak RM2 bilion.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, pelaksanaan inisiatif itu juga dijangka memberi nilai tambah kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak RM3.3 bilion.

Menurutnya, pada masa yang sama ia akan memberi tambahan kepada caruman KWSP sebanyak RM790 juta selain tambahan hasil cukai pendapatan sebanyak RM1.8 bilion, dengan tambahan 37,529 orang pembayar cukai pendapatan baharu pada tahun pertama pelaksanaan.

Tambah Rafizi, jangkaan itu berdasarkan Konsep mudah iaitu apabila gaji pekerja bertambah, lebih ramai pekerja akan berbelanja dan menyebabkan lebih ramai yang membayar cukai sekali gus meningkatkan kadar caruman KWSP.

Rafizi berkata demikian ketika membentangkan Kertas Putih Cadangan Dasar Gaji Progresif hari ini.

Sementara itu pada sidang media yang diadakan di perkarangan Parlimen, Rafizi menjelaskan pelaksanaan Dasar Gaji Progresif yang dijalankan secara sukarela, mendapat sambutan positif daripada majikan.

"Kita telah bercakap dengan Dewan Industri dan majikan dan saya yakin majikan akan menyertai program ini. Namun, terdapat risiko yang perlu kita tangani ialah 'over subscription'. Terlalu banyak syarikat yang ingin turut serta.

"Ini kerana isu utama yang dihadapi majikan ialah untuk mendapatkan bakat-bakat yang menepati kehendak dan kriteria", kata Rafizi.

 

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD