KUALA LUMPUR, 30 November- Median upah bulanan pekerja formal warganegara meningkat sebanyak 4.9 peratus pada Jun 2023 kepada RM2,600 berbanding Jun 2022.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), berdasarkan laporan statistik upah pekerja sektor formal bagi suku kedua 2023, jumlah pekerja formal Malaysia berjumlah 6.6 juta orang.
"Angka itu meningkat sebanyak 1.6 peratus berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
"Sementara itu, 34.7 peratus pekerja formal di negara ini menerima upah bawah RM2,000 berdasarkan taburan upah pada Jun 2023.
"Ia susut 3.6 mata peratus berbanding 38.3 peratus direkodkan pada Jun 2022,"menurut DOSM.
Mengulas situasi upah merentasi aktiviti ekonomi, DOSM menjelaskan, sektor perlombongan dan pengkuarian mencatatkan pertumbuhan dua digit tahun ke tahun pada Jun 2023 kepada RM5,200.
"Semua sektor mencatatkan peningkatan tahun ke tahun bagi median upah bulanan kecuali sektor pertanian.
"Semua negeri menunjukkan pertumbuhan positif tahun ke tahun dari segi median upah bulanan.
"Tiga negeri merekodkan median upah bulanan lebih tinggi berbanding peringkat nasional iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang,"menurut DOSM.