MARAN 2 Mei- Seramai 1,500 pesilat tempatan dan luar negara daripada 87 pasukan berentap dalam Kejohanan Silat Cekak Harimau Kebangsaan dan Antarabangsa, Piala Datuk Seri Shahaniza 2025.
Kejohanan anjuran Pertubuhan Silat Cekak Harimau Malaysia dan Persatuan Silat Negeri Pahang (Pesaka Pahang) itu berlangsung selama 4 hari bermula semalam di Balora Mastika Bandar Jengka, di sini.
Menurut Pengerusi Pengelola, Datuk Osman Nok, kejohanan dwitahunan itu diperluaskan penyertaan kepada pesilat luar negara, bersempena dengan ulang tahun ke-44 Pertubuhan Silat Cekak Harimau Malaysia.
Katanya, antara negara yang mengambil bahagian adalah Indonesia, Singapura, Thailand, Laos dan Vietnam, sekali gus bakal memberi cabaran kepada pesilat tempatan.
"Pelbagai kategori dipertandingkan meliputi Tanding Institusi Pengajian Tinggi dan Jemputan Antarabangsa bagi pesilat berumur 17 tahun hingga 35 tahun.
"Selain itu, Tanding Sukma bagi ketegori pesilat berumur 16 tahun hingga 20 tahun dan Tanding Remaja bagi kategori pesilat berumur 13 tahun hingga 15 tahun," katanya.
Kejohanan itu mempertaruhkan 362 pingat bagi keseluruhan kategori yang dipertandingkan.