fb fb fb fb fb

1,344 pelajar terima Biasiswa Kecil Negeri Pulau Pinang 2025

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow bersama penerima Biasiswa Kecil Negeri pada Majlis Penghargaan BKN 2025 di Kompleks Masyarakat Penyayang, George Town.

GEORGE TOWN, 11 September - Kerajaan Pulau Pinang memperuntukkan sebanyak RM926,160 bagi pemberian Biasiswa Kecil Negeri (BKN) kepada 1,344 pelajar baharu sekolah menengah di seluruh negeri tahun ini.

Jumlah itu meningkat 17.62 peratus berbanding tahun lalu, iaitu RM787,440 yang diagihkan kepada 1,136 pelajar dari 115 sekolah menengah.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, peningkatan tersebut selaras dengan usaha kerajaan negeri memastikan akses pendidikan inklusif serta meringankan beban keluarga berpendapatan rendah.

“Pada tahun ini, jumlah penerima ditingkatkan kepada 1,344 pelajar baharu daripada 112 sekolah dengan peruntukan RM926,160,” katanya ketika merasmikan Majlis Penghargaan Biasiswa Kecil Negeri Pulau Pinang 2025 di Kompleks Masyarakat Penyayang, George Town.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Mohamad Dziauddin Mat Saad.

Selain BKN, kerajaan negeri turut menyalurkan bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Mubaligh, Sekolah Cina, Sekolah Persendirian dan Sekolah Tamil serta bantuan kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT) melalui skim iBiTA.

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI