JOHOR BAHRU, 18 April- Seramai 1,089 keluarga terjejas banjir di Johor yang tidak berdaftar di pusat pemindahan sementara (PPS), tetap akan menerima Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM3,000, bagi setiap ketua isi rumah.
Menurut Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, bantuan khas siri kedua itu disalurkan sempena banjir Monsun Timur Laut gelombang kelima, membabitkan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM3.26 juta.
Beliau berkata, meskipun tempoh rayuan masih dibuka, kerajaan negeri mengambil langkah proaktif dengan menyalurkan bantuan secara berperingkat bermula semalam.
Langkah itu diambil bagi memastikan penduduk terjejas banjir menerima bantuan segera tanpa perlu menunggu tempoh rayuan tamat sepenuhnya.
Bantuan siri kedua tersebut merupakan hasil kerjasama antara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), pihak berkuasa tempatan (PBT), serta Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ).
Fasa pertama bantuan selesai diagihkan pada 27 Mac lalu, melibatkan penerima yang berdaftar di PPS. Manakala, bayaran bagi fasa ketiga dijadualkan dilaksanakan pada bulan Mei, selepas tempoh rayuan berakhir hujung bulan ini.