KUALA LUMPUR, 18 April – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menyeru pihak media untuk meningkatkan ketelitian dalam memaparkan simbol kebangsaan, iaitu Jalur Gemilang dengan melakukan semakan dan pengawasan yang lebih ketat terhadap penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dalam penyuntingan gambar.
Ketua Pengarah IKIM, Profesor Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil dalam satu kenyataan menegaskan pihaknya memandang serius sebarang kesilapan dalam pemaparan bendera kebangsaan, sama ada secara sengaja atau tidak, kerana ia boleh mencetuskan sensitiviti serta menjejaskan keharmonian di negara ini.
Beliau turut mengalu-alukan tindakan segera dari pihak Sin Chew Daily yang telah mengeluarkan permohonan maaf dalam tiga bahasa (Bahasa Malaysia, Inggeris, dan Cina) dan berjanji untuk meminda kesilapan tersebut dalam versi digital dan cetakan mereka.
Dalam pada itu, beliau menggesa rakyat negara ini agar menangani isu tersebut dengan penuh kematangan dan saling menghormati.
IKIM menegaskan komitmennya untuk mempromosikan perpaduan nasional dan berharap isu tersebut dapat menjadi pengajaran kepada semua pihak untuk lebih menghargai simbol kebangsaan negara.