NILAI, 18 April– Seorang Penolong Pengurus Sumber Manusia sebuah syarikat di Nilai kerugian sebanyak RM579,110 selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud yang ditawarkan melalui laman sosial Facebook.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim dalam satu kenyataan berkata, mangsa merupakan seorang wanita warga tempatan berusia awal 50-an, yang dipercayai berurusan dengan seorang individu mendakwa mewakili syarikat pelaburan dalam talian kononnya berpangkalan di Taiwan.
Menurut beliau, mangsa mula tertarik dengan tawaran tersebut dan diminta untuk memuat turun aplikasi pelaburan dikenali sebagai ‘TS PRO’ pada 29 Disember 2024.
“Mangsa telah memindahkan wang sebanyak RM207,110 ke dalam tujuh akaun dan turut menyerahkan wang tunai berjumlah RM372,000 kepada individu yang mengaku sebagai wakil syarikat di Nilai bagi tujuan pelaburan,” katanya.
Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu pada 16 April lalu selepas aplikasi tersebut tidak lagi boleh diakses dan mangsa juga gagal mengeluarkan keuntungan seperti yang dijanjikan.
Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai telah membuka kertas siasatan bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi mengesan dan seterusnya melakukan tangkapan terhadap suspek.