JERLUN, 17 Januari- Kedah merekodkan kira-kira 0.21 peratus atau 748 daripada keseluruhan 354,771 pelajar dan murid sesi 2024-2025 terlibat dalam kejadian buli.
Buli fizikal merekodkan jumlah tertinggi iaitu 440 kes; diikuti buli bahasa 267 kes; buli isyarat 23 kes dan buli perhubungan 18 kes.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Ismail Othman berkata Kementerian Pendidikan Malaysia, KPM telah mengambil langkah-langkah proaktif bagi membanteras perkara itu.
"Antara inisiatif yang telah dilaksanakan adalah melancarkan tujuh teras Nadi Keunggulan dan memberi penekanan kepada aspek karamah insaniah melalui teras dua iaitu pembentukan adab, akhlak dan integriti bagi menghindari gejala negatif seperti buli serta gangguan seksual dalam kalangan murid.
"KPM juga telah menyediakan portal aduan buli sebagai medium pemantauan membolehkan warga sekolah termasuk murid, ibu bapa dan orang awam membuat aduan terus kepada pihak Kementerian. Terdapat empat saluran utama Portal Aduan Buli iaitu Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) KPM, e-mel, talian telefon dan aplikasi WhatsApp," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Gerakan Kepimpinan Madani, Hentikan Salahlaku Buli dan Seksual Peringkat Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Air Hitam di sini.
KPM turut memperkasakan semula penggunaan peti aduan disiplin di sekolah bagi memudahkan murid membuat aduan secara bertulis jika isu buli atau isu disiplin lain berlaku.
Kementerian juga memantau salah laku buli dan tingkah laku lucah dalam kalangan murid melalui perekodan dalam Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) bagi menangani kes isu salah laku buli dan seksual.
Guru dan pihak sekolah juga perlu mewujudkan ekosistem pendidikan selamat dan merancang program pencegahan, kesedaran dan pendidikan melalui obligasi Unit Bimbingan dan Kaunseling.
Jawatankuasa disiplin sekolah perlu tegas dan tidak berkompromi berkaitan kes salah laku murid.
Manakala Murid bertanggungjawab dalam memimpin rakan sebaya, melapor insiden buli kepada pihak sekolah.
Duta Sahsiah sekolah, Badan Pengawas Sekolah dan ahli Kelab Pencegahan Jenayah perlu bergerak aktif membantu sekolah dalam pengurusan disiplin.