fb fb fb fb fb

Prasarana sasar 1.4 juta penumpang menjelang Disember

Anthony Loke Siew Fook

PETALING JAYA, 17 Januari- Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) komited mentransformasikan landskap pengangkutan awam, selaku pengendali utama pengangkutan awam negara dengan penyasaran secara purata 1.4 juta penumpang sehari menjelang Disember.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata sasaran tersebut mengambil kira unjuran peningkatan 10 hingga 12 peratus bilangan penumpang rel dan bas selepas pandemik COVID-19.

"Pada tahun 2024, jumlah penumpang telah meningkat 24 peratus berbanding tahun 2023. Purata penumpang yang menggunakan pengangkutan awam bawah rapid, bertambah hingga 1.18 juta setiap hari berbanding 955,000 pada tahun 2023 dan 681, 000 pada tahun 2022.

"Jadi ini peningkatan yang agak sihat dan kita hampir kembali kepada jumlah sebelum COVID-19 pada tahun 2019. Jadi ini satu pencapaian yang boleh dibanggakan dan Prasarana telah menunjukkan kemampuan mereka untuk menguruskan jumlah penumpang ramai terutamanya bawah rapid," katanya.

Beliau berkata demikian pada Pembentangan Laporan Prestasi Prasarana 2024, di Menara Prasarana di sini.

Dalam pada itu, Prasarana berjaya mengurangkan gangguan perkhidmatan rel daripada 118 gangguan pada tahun 2023, kepada hanya 71 gangguan pada 2024.

Jumlah itu mewakili pengurangan sebanyak 40 peratus gangguan perkhidmatan rel secara keseluruhannya melibatkan lima laluan iaitu Kelana Jaya, Kajang, Ampang, Putrajaya dan laluan monorel.

"Kita tahu bahawa salah satu masalah yang membelenggu PRasarana beberapa tahun lalu ialah kekerapan kerosakan tren di Lembah Klang.

"Tetapi sejak tahun 2023, kita menggunakan sistem Min Kilometer Antara Kegagalan (MKBF)kita dapat jejak dan juga memberikan perhatian yang lebih kepada isu penyelenggaraan. Maka, kita dapat mengurangkan gangguan-gangguan ini," katanya lagi.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI