
ALOR GAJAH, 13 November – Pengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diseru memilih pemimpin yang jujur, amanah dan berintegriti tanpa menjadikan aspek kaum sebagai ukuran utama.
- Sertakan pemimpin terbaik dari semua kaum untuk membentuk kepimpinan yang mengutamakan rakyat dan menjamin masa depan negara
- Kerjasama politik merentas kaum bukan pengorbanan jika prinsip keadilan dan tanggungjawab bersama diutamakan
- Pelihara kepelbagaian negara dengan menolak kebencian dan rasuah yang mengancam keharmonian serta pembangunan ekonomi
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyertaan pemimpin terbaik daripada pelbagai kaum amat penting dalam membentuk kepimpinan yang dapat mengutamakan rakyat dan menjamin masa depan negara.
“Apa-apa parti gabungan kalau nak buat, dia mesti betul induknya Melayu majoriti. Tetapi Cina, India, Orang Asli dan kemudian kita sama dengan Sabah, Sarawak.
“Kita pilih Melayu yang terbaik, Cina yang terbaik, India yang terbaik, pemimpin Sabah, Sarawak yang terbaik, baru boleh selamat negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Grand Finale: Jelajah Harapan Melaka Rumah Kita di Taman Melaka Perdana, di sini, semalam.
Menurutnya lagi, kerjasama politik merentas kaum tidak seharusnya dianggap sebagai pengorbanan terhadap kepentingan mana-mana masyarakat, selagi prinsip keadilan dan tanggungjawab bersama sentiasa diutamakan.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan bahawa Malaysia mempunyai kelebihan melalui kepelbagaian masyarakatnya, namun potensi tersebut perlu dipelihara dengan menolak kebencian dan perpecahan.
“Malaysia, dengan majoriti masyarakat Melayu serta masyarakat Cina, India, Iban dan Kadazan, mempunyai potensi yang luar biasa.
“Berbanding negara jiran, Malaysia mempunyai kedudukan yang istimewa. Negara ini mesti bersatu dan aman. Kita mesti menghentikan amalan buruk yang memecahbelahkan masyarakat, mencetuskan kebencian antara satu sama lain serta membiarkan rasuah bermaharajalela,” katanya.
Perdana Menteri turut mengingatkan bahawa sentimen kebencian dan amalan rasuah boleh menjejaskan usaha membina negara yang stabil serta menghalang pembangunan ekonomi demi kesejahteraan rakyat.