
MELAKA, 13 November – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Datuk Azman Abidin berupaya melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dengan baik.
- Menerusi hantaran Facebook, Anwar berkongsi pengalamannya mengenali Datuk Azman dan melihat komitmen beliau dalam berkhidmat.
- Beliau menyatakan Azman akan membawa suara penduduk dan menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan.
- Anwar dan Azman singgah bertemu komuniti penjaja serta penduduk di Taman Krubong Jaya.
- Dalam kempen di Ayer Molek, beliau menyeru pengundi menolak rasuah, menghargai kejujuran dan memberi mandat kepada calon PH.
Menerusi hantaran di Facebook, Datuk Seri Anwar berkata, keyakinan itu berasaskan pengalaman beliau yang melihat sendiri komitmen Datuk Azman dalam menjalankan amanah.
“Saya mengenali Datuk Azman secara dekat dan tahu keupayaan serta kegigihannya dalam berkhidmat.
“Insya-Allah, Datuk Azman mampu membawa suara penduduk dan menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan,” katanya.
Menerusi hantaran sama, Perdana Menteri turut berkongsi pertemuannya dengan komuniti penjaja dan penduduk setempat bersama Datuk Azman ketika singgah di Taman Krubong Jaya, di sini, semalam.
Dalam satu hantaran berasingan, Datuk Seri Anwar meneruskan kempen PH di Ayer Molek bersama calon PH bagi DUN Ayer Molek, Hakimin Mokhtar dan DUN Serkam, Faiq Azman.
Pada kempen itu, Datuk Seri Anwar mengajak hadirin merenung teguran pujangga Jawa, Ronggowarsito mengenai keadaan masyarakat yang menghina golongan jujur, tetapi menyanjung individu yang terlibat dalam rasuah.
Datuk Seri Anwar turut menyatakan keyakinan bahawa rakyat Melaka mahukan pemimpin yang berani menolak rasuah dan menjaga amanah yang diberikan.
Sehubungan itu, beliau memohon pengundi memberikan mandat kepada calon PH pada PRN berkenaan.