fb fb fb fb fb

Struktur semula dasar keterjaminan makanan kita

Foto hiasan/Bernama

SAUDARA PENGARANG

Di sebalik pengukuhan dan kerjasama strategik yang giat dijalankan oleh kerajaan dalam mempromosikan minyak kelapa sawit secara global, isu keterjaminan makanan yang berkait dengan bahan makanan utama rakyat Malaysia seperti beras, buah-buahan, sayur-sayuran, ternakan dan hasil laut masih kurang diberi perhatian.

Kita perlu sedar bahawa isu keterjaminan makanan wujud apabila rakyat tidak mempunyai akses fizikal dan ekonomi kepada makanan selamat dan berkhasiat yang mencukupi dan memenuhi keperluan diet untuk kehidupan aktif dan sihat.

Didapati harga sayur-sayuran dan buah-buahan di pasar meningkat antara 50 sen hingga RM4 sekilogram (kg). Para penjual menyatakan kenaikkan harga ini adalah berikutan kekurangan pengeluaran yang tidak dapat menampung permintaan tinggi.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menggunakan indikator nisbah sara diri (SSR) untuk melihat keupayaan sesuatu pengeluaran bahan makanan bagi sesebuah negara mencukupi untuk memenuhi keperluan domestik.

Didapati berlaku trend penurunan SSR untuk tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan yang mempunyai nilai penggunaan per kapita tinggi di Malaysia. Misalnya limau nipis (2021:82.4%, 2022:75.9%), sawi (2021:97.0%, 2022:95.9%), pisang (2021:102.6%, 2022:99.3%), nanas (2021:104.3%, 2022:102.5%), betik (2021:146.9%, 2022:142.3%) dan tembikai (2021:139.5%, 2022:131.9%).

Bukan sahaja hasil tanaman menunjukkan penurunan SSR tetapi hasil ternakan dan hasil laut seperti daging lembu (2021:18.9%, 2022:14.7%), ikan tenggiri (2021: 100.7%, 2022:78.2%) dan udang (2021:100.4%, 2022:96.5%) juga mempamerkan trend penurunan.

Apabila berlakunya penurunan SSR, pengeluaran domestik tidak dapat menampung permintaan domestik dan ianya mengakibatkan kenaikan harga dalam pasaran, seterusnya memberi impak kepada rakyat Malaysia.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah memperkenalkan dua dasar penting, iaitu Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2021-2025 dan Dasar Agro-Makanan Negara 2021-2030. Bagaimanapun, untuk tahun kedua (2022) implementasi dua dasar tersebut; statistik SSR Malaysia masih menunjukkan keadaan tidak stabil.

Jika status SSR ini menunjukkan ketidakstabilan dalam jangka masa panjang ia akan memberi impak kepada permintaan domestik, seterusnya mewujudkan rakyat yang kelaparan dan kekurangan zat makanan.

Justeru itu, terdapat tiga strategi penting yang boleh digunakan untuk menambah baik dasar keterjaminan Malaysia, meningkatkan SSR Malaysia dan seterusnya mengurangkan isu keterjaminan makanan negara.

Strategi pertama adalah meningkatkan penanaman dan ternakan bersasar untuk produk tanaman, ternakan dan hasil laut yang mempunyai nilai purata penggunaan per kapita yang tinggi, seperti limau nipis, daging lembu dan ikan tenggiri.

MARDI telah menjalankan usaha yang baik meningkatkan tanaman bawang merah yang mempunyai nilai purata penggunaan 17kg setahun. Artikel Berkaitan

Namun peningkatan tanaman dan ternakan produk bersasar yang lain seperti limau nipis, sawi, pisang dan nanas juga perlu dilakukan untuk menampung permintaan domestik.

Strategi kedua, adalah sistem pelarasan tanaman dan pengaktifan tanah ladang perlu dilakukan. Dengan mewujudkan sistem ini, para petani akan lebih fokus dan teratur dalam menyusun tanaman buah-buahan dan sayur-sayuran untuk setiap musim.

Juteru, tanah hasilan petani tidak akan terbiar untuk musim-musim tertentu dan sentiasa aktif dalam penanaman. Taiwan telah menjalankan sistem tersebut, yang dipanggil “Adjusting the Cropping System and Revitalizing Farmland”.

Petani mereka diwajibkan untuk memenuhkan tanaman untuk satu tahun musim penanaman, dan mereka hanya dibenarkan untuk mengosongkan tanah tanaman mereka selama satu musim tanaman untuk setahun. Dengan wujudnya sistem itu pada tahun 2011, Taiwan mendapati pengurangan sebanyak 41 peratus untuk tanah terbiar tanpa tanaman pada tahun 2015.

Strategi ketiga adalah memberi penekanan kepada pembinaan kapasiti untuk penyimpanan hasil tanaman dan ternakan agar ia dapat menampung permintaan domestik. Pelan pembinaan kapasiti silo untuk bijirin telah dilaksanakan oleh China dan Taiwan.

China mengguna pakai konsep “menyembunyikan bijirin dalam tanah dan menyembunyikan bijirin dalam teknologi”. Yakni, mereka menekankan kepentingan pembinaan kapasiti simpanan tanaman dan bukan hanya menumpukan pada sasaran pengeluaran bijirin.

Dengan itu tiada permasalahan daripada segi penyimpanan hasil tanaman atau kekurangan pengeuaran sewaktu musim banjir. Taiwan yang telah mengguna pakai silo yang bersuhu rendah untuk menyimpan bijirin telah menunjukkan peningkatan simpanan bijirin sebanyak 7.8 peratus setahun.

Kesimpulannya, untuk menangani isu keterjaminan makanan di Malaysia, pihak berkaitan perlu terus mengkaji semula dasar keterjaminan makanan semasa. Pada masa sama mempertimbangkan peningkatan tanaman dan pengeluaran untuk produk bersasar yang mempunyai nilai purata penggunaan per kapita tinggi.

Selain itu mewujudkan sistem pelarasan tanaman perlu dilakukan. Juga pengaktifan tanah ladang dengan memberi penekanan kepada pembinaan kapasiti untuk penyimpanan hasil tanaman dan ternakan.

Sebagai tambahan kepada tiga strategi utama, adalah penting untuk melihat faktor pertumbuhan populasi rakyat Malaysia. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) jumlah penduduk Malaysia pada 2023 ialah 33.4 juta, jika dibandingkan dengan tahun 2022 ialah 32.7 juta.

Kajian menunjukkan pertumbuhan populasi memberi impak kepada keterjaminan makanan Malaysia. Salah satu faktor yang menyebabkan pertumbuhan populasi rakyat Malaysia adalah disebabkan peningkatan bilangan bukan warganegara sebanyak 20% pada tahun 2023, dari tahun sebelumnya.

Dalam menangani isu keterjaminan makanan, menyekat pertumbuhan populasi adalah satu langkah tidak wajar. Tetapi rakyat Malaysia perlu mengubah cara penghasilan dan pengambilan makanan. Diet berasaskan tumbuhan dapat mewujudkan populasi lebih sihat dan membantu menangani perubahan iklim dan persekitaran.

Oleh itu, kerajaan juga perlu mengambil kira aspek pertumbuhan populasi yang akan meningkatkan permintaan domestik. Justeru itu peningkatan SSR adalah penting bagi mencapai permintaan domestic, seterusnya menangani isu keterjaminan makanan Malaysia. Justeru, kerajaan dan institusi yang terlibat perlu berganding bahu dalam menyelesaikan isu ini.

PENULIS DR. ADILAH A. WAHAB, Pensyarah Kanan Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi melalui emel  Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI