SAUDARA PENGARANG
Sektor komoditi memainkan peranan penting dalam ekonomi negara melalui sumbangannya kepada pendapatan negara dan perolehan eksport serta mewujudkan banyak peluang pekerjaan.
Sektor ini adalah pembekal utama makanan, juga bahan mentah untuk industri berasaskan sumber. Secara puratannya, sektor komoditi menyumbang sebanyak RM18.1 - RM24.4 bilion setiap suku tahunan dari suku tahun pertama 2019 sehingga suku tahun ketiga 2023.
Selari dengan peranan utamanya, kerajaan terus menerus mengambil langkah pelarasan bagi mempercepatkan daya saing sektor ini agar dapat membolehkannya menghadapi cabaran baharu pada tahap domestik dan antarabangsa.
Antaranya adalah melalui Dasar Agromakanan Negara (2011-2020) yang bermatlamat untuk menjamin bekalan makanan mencukupi dan selamat dimakan, meningkatkan tahap pendapatan usahawan tani, dan menjadikan industri agromakanan sebagai industri berdaya saing dan mampan.
Di samping itu, Dasar Komoditi Negara (2011-2020) juga bermatlamat untuk meningkatkan sumbangan industri komoditi kepada ekonomi negara, memoden dan mentransformasi industri komoditi agar berdaya saing dan mampan.
Dasar itu juga dilihat menggalakkan pertumbuhan di sepanjang rantaian nilai industri komoditi serta meningkatkan pendapatan pengusaha industri komoditi termasuk pekebun kecil, dan menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D), teknologi perladangan dan pemprosesan berasaskan komoditi industri.
Dalam usaha untuk melunaskan matlamat-matlamat yang telah digariskan, cabaran kini dan seterusnya adalah supaya produk komoditi ini mampu dinikmati olah pengguna isi rumah di Malaysia.
Namun, isu menjadi semakin kritikal kerana berdasarkan pemantauan harga purata agromakanan terpilih di peringkat runcit Semenanjung Malaysia mendapati kebanyakan komoditi mencatatkan peningkatan terutamanya bagi sayur jenis kekacang dan sayuran berbuah.
Data Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan juga merekodkan trend peningkatan harga purata barangan runcit harian dan ianya mencecah tahap amaran kedua.
Senario kenaikan harga ini, jika diambil secara sambil lewa akan menghasilkan masalah besar kepada ekonomi Malaysia secara menyeluruh, seperti inflasi, penurunan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), penurunan kuasa beli pengguna, penurunan pendapatan benar pengguna, peningkatan jurang pendapatan negara, dan kelestarian ekonomi negara dan isi rumah. Dalam jangka panjang, boleh meningkatkan kadar kemiskinan tegar dan tahap jenayah di Malaysia.
Dari perspektif ekonomi, kenaikan harga ini mungkin disebabkan penawaran yang berkurang ('cost push inflation') atau permintaan yang semakin meningkat ('demand pull inflation') dari semasa ke semasa melebihi tindak balas peningkatan penawaran.
Ya, ada usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan untuk meningkatkan penawaran produk komoditi dan ia terbukti dengan dasar-dasar yang telah dirangka.
Namun faktor turut menyumbang seperti El-Nino (pemanasan global dan perubahan suhu dan musim), isu geopolitik (seperti Peraturan Penebangan Hutan EU (EUDR) yang mewajibkan syarikat menjual produk di Kesatuan Eropah tidak membawa kepada penebangan hutan), ketidakstabilan ringgit Malaysia dan kekurangan tenaga kerja.
Selain itu desakan permintaan yang semakin meningkat kesan daripada peningkatan jumlah populasi dari dalam dan luar negara, dan sifat produk komoditi sendiri yang merupakan produk keperluan ('necessity good') penduduk di Malaysia, juga turut menyumbang ke arah sama.
Justeru, ke semua isu tersebut sememangnya perlu diperhausi. Kajian lebih serius dan terperinci amat-amat diperlukan agar kenaikan harga produk komoditi tidak menjadi lebih parah pada masa-masa akan datang.
PENULIS DR. NOR SALWATI OTHMAN Ketua, Jabatan Bisnes dan Pengurusan, UNITEN Business School (UBS), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), dan boleh dihubungi melalui e-mel
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.