SAUDARA PENGARANG
Masalah berak berdarah sering kali diabaikan dan dianggap hal remeh. Ini kerana ia sentiasa dikaitkan dengan buasir atau hemorroid. Namun, pendarahan semasa pembuangan air besar sebenarnya boleh menjadi petanda kepada pelbagai keadaan perubatan lain yang berkemungkinan lebih serius.
Terdapat pelbagai punca yang boleh menyebabkan berlakunya pendarahan. Antaranya ialah bengkak atau radang usus yang disebabkan oleh jangkitan kuman atau autoimmune, buasir (haemorrhoids), luka pada dinding usus (anal fissure), polyp malah kanser usus kolon dan rektum boleh menjadi penyebab kepada pendarahan usus.
Tidak dapat dinafikan, buasir merupakan punca paling umum bagi pendarahan usus. Namun, hanya melalui pemeriksaan menyeluruh oleh doktor berpengalaman sahaja dapat memberikan diagnosis tepat dan rawatan bersesuaian.
Malah, jika simptom ini turut disertai dengan simptom-simptom lain seperti penurunan berat badan mendadak, gaya pembuangan air besar yang tidak teratur seperti kelaziman, ketulan (mass) di bahagian abdomen, individu itu ada kemungkinan mengalami simptom dari kanser usus.
Penting untuk anda ketahui simptom pendarahan usus tidak selalu diiringi dengan rasa sakit. Simptom ini berbeza-beza mengikut kes pesakit. Darah pula mungkin berwarna merah terang, gelap, atau bahkan bercampur dengan najis, bergantung kepada lokasi dan punca pendarahan dalam sistem pencernaan.
Selain itu, terdapat juga segelintir pesakit yang hanya mengetahui mereka mempunyai pendarahan dalam usus melalui ujian najis yang dihantar ke makmal (ujian saringan ‘stool occult blood test’). Pesakit ini biasanya datang dengan simptom anemia seperti lesu, pucat, berdebar dan keletihan berterusan.
Jika anda mengalami simptom berak berdarah, langkah pertama perlu anda ambil adalah mendapatkan nasihat daripada doctor; seterusnya melakukan saringan awal. Selepas pemeriksaan dilakukan, bergantung kepada keadaan pesakit, doktor boleh akan mengesyorkan ujian kolonoskopi untuk menentukan punca pendarahan seterusnya ujian diagnostik lain jika diperlukan seperti pengambilan biopsy, CT-scan dan ujian makmal berkaitan.
Prosedur kolonoskopi adalah pemeriksaan perubatan untuk melihat keadaan di dalam usus kolon dan rectum menggunakan alat khas bernama Colonoscope. Alat ini mempunyai ciri fleksibel yang dilengkapi kamera dan lampu. Kolonoskopi dilakukan untuk mengenal pasti kanser usus, ketumbuhan polip, pendarahan usus atau mana-mana gangguan sistem pencernaan manusia.
Rawatan yang akan diberikan juga bergantung kepada hasil pemeriksaan dan diagnosis. Ini termasuk perubahan gaya pemakanan, ubat-ubatan, prosedur pembedahan dan kemoterapi bagi pesakit kanser usus.
Di negara kita, kanser kolorektal merupakan kanser ke-2 tertinggi selepas kanser payudara. Malangnya, disebabkan kurangnya kesedaran tentang penyakit ini, ramai pesakit datang hanya mendapatkan rawatan apabila simptom mereka kritikal, seringkali Ketika kanser sudah berada di tahap akhir dimana sel kanser telah merebak diluar usus dan organ-organ lain. Umum perlu mengetahui, kanser kolorektal boleh dicegah dan dirawat dengan pengesanan dan saringan awal.
Kini, kerajaan Malaysia mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan saringan awal kanser kolorektal di klinik-klinik kesihatan. Inisiatif ini bertujuan memastikan pengesanan awal kanser yang berkesan serta dapat memberikan rawatan lebih baik dan meningkatkan prognosis pesakit.
Justeru, adalah penting bagi masyarakat, amnya untuk mengenal pasti pelbagai punca berak berdarah. Jika anda mempunyai simptom-simptom seperti diatas, diminta untuk dapatkan pemeriksaan dan rundingan doktor bertauliah kerana anda mungkin memerlukan perhatian perubatan lebih khusus.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Dr Ahmad Fardi Bin Hj Sulaiman
Pakar Perunding Kolorektal & Pembedahan Am
Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Terengganu
E-mail:
Dr Fatin Mardhiyyah Binti Hussain
Pegawai Perubatan
Hospital Sultan Zainal Abidin (Hosza), Terengganu
Email: