fb fb fb fb fb

Hidupkan sunnah membaca dan tadabbur al-Quran

Foto hiasan/Arkib Bernama

SAUDARA PENGARANG

Ramadan merupakan bulan Islam yang dipenuhi padanya keberkahan dan digandakan segala ganjaran bagi amal kebaikan. Selain itu, bulan ini juga sinonim dengan bulan al-Quran kerana diturunkan padanya al-Quran. Peristiwa ini dirakamkan dalam al-Quran, surah al-Baqarah, ayat 185: "Bulan Ramadan yang kami turunkan dalamnya al-Quran yang menjadi petunjuk untuk manusia".

Asasnya, al-Quran merupakan kalam Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW sebagai wahyu secara berperingkat dari mula Nabi dilantik menjadi rasul sehingga kewafatan baginda iaitu selama 23 tahun. Ia merupakan mukjizat Nabi SAW yang masih dapat dilihat dan dibaca sehingga hari ini.

Al-Quran adalah kitab suci komprehensif bagi umat Islam dan mempunyai peranan yang penting dalam menyuluh kehidupan manusia. Di antaranya, al-Quran menjadi sumber rujukan utama bagi umat Islam sebagai petunjuk di seluruh pelusuk dunia semenjak dari zaman Nabi Muhammad SAW hinggalah hari kiamat. Justeru, intipati al-Quran mengandungi input yang banyak tentang pensyariatan hukum-hakam, panduan akidah yang benar, pedoman akhlak dan adab, dan lain-lain lagi.

Pensyariatan tentang hukum merangkumi kewajipan umat Islam yang bersifat harian umpama solat fardu lima waktu, bersuci, atau mingguan seperti solat Jumaat, atau bulanan seperti puasa di bulan Ramadan dan tahunan seperti membayar zakat. Di samping itu, ia juga termasuk larangan Syarak dalam kehidupan umat Islam seperti larangan zina, minum arak, berjudi, mengambil riba, berlaku zalim dan seumpamanya.

Manakala panduan akidah pula mengandungi penegasan keimanan terhadap keesaan Allah SWT dan sifat-sifatnya, beriman dengan para malaikatnya, kitab-kitabnya, para rasul dan nabinya, hari kiamat serta qadak dan qadarnya yang wajib dipercayai oleh setiap penganut agama Islam. Ia juga memaparkan kisah-kisah tentang balasan syurga dan neraka.

Dalam pedoman berkaitan akhlak, al-Quran menekankan sifat terpuji seperti sabar, berlaku adil, amanah, dan jujur di samping melarang umat Islam daripada sifat keji seperti hasad dengki, sombong, fitnah dan lain-lain. Kisah-kisah para Nabi juga dipaparkan sebagai ibrah kepada umat Islam setiap zaman.

Dalam bulan Ramadan, salah satu ibadah utama selain berpuasa adalah membaca al-Quran. Pada dasarnya, terdapat keistimewaan bagi mereka yang memperbanyakkan bacaan al-Quran pada bulan Ramadan. Antaranya digandakan pahala sebanyak 10 kali ganda bagi setiap huruf yang dibaca.

Ini berdasarkan hadis Nabi SAW: “Barang siapa yang membaca satu huruf dari kitab Allah, maka baginya satu kebaikan. Satu kebaikan itu dibalas dengan sepuluh kali lipatnya. Aku tidak mengatakan alif lam mim itu satu huruf, tetapi alif itu satu huruf, lam itu satu huruf, dan mim itu satu huruf.” (HR Tirmizi).

Jelas berdasarkan hadis di atas, mereka yang membaca al-Qur’an diberikan ganjaran pahala berlipat ganda sebanyak sepuluh kali. Ia juga menjadi satu motivasi buat umat Islam untuk konsisten membaca al-Quran pada bulan Ramadan.

Selain membaca al-Quran, umat Islam juga digalakkan untuk bertadabbur makna setiap ayat yang dibaca. Ia merupakan tahap kedua selepas fasa membaca. Ini disebabkan kerana dengan mentadabbur ayat-ayat al-Quran, umat Islam akan lebih memahami petunjuk berkaitan dengan hukum yang disyariatkan, pedoman akidah yang benar dan teladan akhlak yang digariskan dalam al-Quran.

Proses tadabbur ayat al-Quran perlu diselarikan dengan pemahaman makna asas dan juga huraian tafsir para ulama di samping pandangan berkaitan dengan hukum, akidah dan sirah. Jadi, mereka yang mentadabbur ayat-ayat al-Quran akan dikurniakan kefahaman yang baik dan kemantapan rohani. Kesannya, mereka akan merasa hampir dengan ayat-ayat Allah dan mengamalkannya dalam kehidupan harian di samping memperolehi ganjaran pahala bagi setiap huruf yang dilafazkan.

Di samping itu, dengan membaca dan mentadabbur al-Quran dalam bulan ini akan lebih membuka banyak pintu keberkatan, rahmat, rezeki dan hidayah daripada Allah. Pengampunan dosa juga merupakan imbalan bagi pembaca al-Quran yang penuh penghayatan serta ikhlas niatnya kerana Allah.

Selari dengan itu juga, kualiti ibadah akan lebih meningkat dan mereka mendirikan solat dengan lebih kusyuk. Jadi, mereka juga tidak mempunyai kesempatan masa mahupun peluang untuk melakukan perkara-perkara yang bersifat maksiat, lalai dan tidak mendatangkan sebarang faedah.

Jelasnya, al-Quran adalah kalam Allah yang memiliki banyak kelebihan, keistimewaan dan keindahan. Maka amat beruntung bagi sesiapa yang betul-betul memanfaatkan ganjaran besar di bulan Ramadan dengan membaca dan mentadabbur makna serta menghayati intipati al-Quran.

Selari dengan itu juga, program tadarrus atau bacaan al-Quran secara beramai-ramai yang dianjurkan oleh pelbagai pihak boleh dimanfaatkan bagi meningkatkan lagi kefahaman peserta dengan tadabbur al-Quran.

Oleh itu, jadikanlah al-Quran sebagai teman setia setiap hari, terutama di bulan Ramadan, agar ia bukan hanya diungkapkan di bibir semata-mata tetapi kesannya meresap ke jiwa pembacanya. Daripada bercakap perkara lalai, kotor, lucah dan keji, lebih baik digantikan dengan ayat-ayat Allah dan perkataan yang baik.

Di samping itu, umat Islam perlu merebut peluang ini, tanpa mengira waktu atau tempat untuk menghidupkan Sunnah membaca dan mentadabbur al-Quran kerana ia boleh menjadi sumber kekuatan rohani agar hati sentiasa tenang, iman sentiasa mengukuh dan meraih kebahagiaan di dunia dan akhirat serta memperolehi keredaan Allah SWT.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

PROF MADYA DR. MOHD ANUAR RAMLI
Profesor Madya Dr Mohd Anuar Ramli
Pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul
Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya
E-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

MOHAMAD AIMAN ASHRAFF MOHD ZAMRI
Mohamad Aiman Ashraff Mohd Zamri
Universiti al-Azhar, Kaherah, Mesir
E-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

MAT YUNUS BIN SABRI