SAUDARA PENGARANG
Remaja merupakan golongan yang sering dikaitkan dengan semangat ingin mencuba dan mencabar batasan. Namun, dalam keghairahan mereka untuk mengeksplorasi dunia, terdapat satu isu yang semakin membimbangkan iaitu remaja yang memandu kenderaan tanpa memiliki lesen memandu sah.
Situasi ini bukan sahaja melanggar undang-undang, tetapi juga membawa risiko besar kepada keselamatan diri mereka dan orang lain. Oleh itu, ibu bapa perlu memainkan peranan yang lebih tegas dalam memantau dan mendidik anak-anak mereka tentang pentingnya mematuhi peraturan jalan raya.
Punca Remaja Memandu Tanpa Lesen
Terdapat beberapa faktor yang mendorong remaja untuk memandu tanpa lesen. Pertama, pengaruh rakan sebaya, factor yang memainkan peranan besar. Remaja sering terpengaruh dengan sikap rakan-rakan mereka yang mungkin sudah pandai memandu dan ingin menunjukkan kebolehan mereka. Mereka mungkin merasa tertekan untuk mengikut jejak rakan-rakan supaya tidak dipinggirkan atau dianggap ketinggalan.
Kedua, kurangnya kesedaran tentang bahaya memandu tanpa lesen. Mereka mungkin tidak menyedari risiko mereka hadapi, seperti kemalangan maut atau tindakan undang-undang yang boleh diambil terhadap mereka. Mereka mungkin beranggapan bahawa memandu tanpa lesen adalah perkara biasa dan tidak akan mendatangkan mudarat.
Ketiga, akses yang mudah kepada kenderaan juga memudahkan remaja untuk memandu tanpa lesen. Dalam sesetengah keluarga, ada remaja amat mudah mendapatkan kenderaan seperti motosikal atau kereta, sama ada dengan meminta izin ibu bapa atau mengambilnya tanpa pengetahuan mereka. Keadaan ini membolehkan remaja untuk memandu secara sembunyi-sembunyi tanpa melalui proses pembelajaran dan peperiksaan sepatutnya.
Risiko Memandu Tanpa Lesen
Memandu tanpa lesen bukan sahaja melanggar undang-undang, tetapi juga membawa pelbagai risiko serius. Pertama, risiko kemalangan jalan raya adalah sangat tinggi. Remaja yang tidak memiliki lesen memandu biasanya tidak mempunyai pengetahuan dan kemahiran mencukupi untuk mengendalikan kenderaan dengan selamat.
Mereka mungkin tidak memahami peraturan jalan raya, tanda-tanda lalu lintas, atau cara mengawal kenderaan dalam situasi kecemasan. Keadaan ini meningkatkan kemungkinan berlakunya kemalangan yang boleh mengakibatkan kecederaan serius atau kematian.
Kedua, remaja yang memandu tanpa lesen juga berisiko untuk terlibat dalam aktiviti berbahaya seperti lumba haram. Lumba haram sering dikaitkan dengan remaja yang ingin mencuba kelajuan dan menunjukkan keberanian mereka.
Aktiviti ini bukan sahaja membahayakan diri mereka sendiri, tetapi juga pengguna jalan raya yang lain. Kemalangan yang berlaku akibat lumba haram sering kali mengakibatkan kecederaan parah atau kematian.
Ketiga, remaja yang ditangkap memandu tanpa lesen boleh dikenakan tindakan undang-undang. Memandu tanpa lesen dianggap sebagai satu kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 oleh pihak berkuasa Malaysia.
Mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan denda, penjara, atau kedua-duanya sekali. Tindakan undang-undang ini bukan sahaja menjejaskan masa depan remaja tersebut, tetapi juga membebankan keluarga mereka dari segi kewangan dan emosi.
Apa Peranan Ibu Bapa, Elak Risiko
Ibu bapa memainkan peranan sangat penting dalam menangani masalah remaja memandu tanpa lesen. Pertama, ibu bapa perlu memberikan pendidikan secukupnya tentang pentingnya mematuhi peraturan jalan raya. Mereka perlu menjelaskan kepada anak-anak mereka tentang risiko dan bahaya memandu tanpa lesen.
Pendidikan ini bukan sahaja perlu diberikan secara lisan, tetapi juga melalui contoh yang baik. Ibu bapa sendiri perlu mematuhi peraturan jalan raya dan menunjukkan sikap yang bertanggungjawab ketika memandu.
Kedua, ibu bapa perlu memantau pergerakan anak-anak mereka dengan lebih rapat. Mereka perlu mengetahui di mana anak-anak mereka berada dan apa yang mereka lakukan. Jika anak-anak mereka ingin memandu, ibu bapa perlu memastikan bahawa mereka telah memiliki lesen memandu sah dan telah melalui proses pembelajaran sewajarnya. Ibu bapa juga perlu menetapkan peraturan yang ketat tentang penggunaan kenderaan di rumah.
Ketiga, ibu bapa perlu mengambil tindakan tegas jika mendapati anak-anak mereka memandu tanpa lesen. Mereka tidak boleh bersikap lepas tangan atau memandang ringan terhadap perkara ini. Tindakan tegas seperti merampas kunci kenderaan atau mengenakan hukuman yang sesuai boleh memberikan pengajaran kepada anak-anak mereka tentang keseriusan isu ini. Ibu bapa juga boleh mendapatkan bantuan daripada pihak berkuasa atau kaunselor jika perlu.
Peranan Masyarakat dan Kerajaan
Selain ibu bapa, masyarakat dan kerajaan juga perlu memainkan perananaktif dalam menangani masalah remaja memandu tanpa lesen. Masyarakat perlu peka terhadap tingkah laku remaja di sekeliling mereka dan melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan kepada pihak berkuasa. Kerjasama antara masyarakat dan pihak berkuasa boleh membantu mengurangkan masalah ini.
Kerajaan pula perlu memperketat penguatkuasaan undang-undang berkaitan memandu tanpa lesen. Pihak berkuasa perlu meningkatkan operasi pemantauan di jalan raya, terutamanya di kawasan yang sering menjadi lokasi lumba haram atau aktiviti berbahaya lain.
Selain itu, kerajaan juga boleh mengadakan kempen kesedaran tentang bahaya memandu tanpa lesen melalui media massa dan media sosial. Kempen ini boleh menyasarkan remaja dan ibu bapa untuk meningkatkan kesedaran mereka tentang isu ini.
Remaja yang memandu tanpa lesen adalah satu masalah serius dan perlu ditangani dengan segera. Ia kerana risiko dihadapi bukan sahaja melibatkan keselamatan remaja tersebut, tetapi juga pengguna jalan raya lain.
Justeru ibu bapa, masyarakat dan kerajaan perlu berganding bahu memainkan peranan lebih tegas dalam memantau dan mendidik penerus generasi atau anak-anak tentang pentingnya mematuhi peraturan jalan raya, seterusnya untuk impak lebih berkesan. Kita dapat mengurangkan risiko dan memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya dengan usaha yang bersepadu.
Air mengalir tenang di sungai,
Ikan berenang riang tak henti.
Patuhi peraturan, janganlah lalai,
Agar tiada yang terluka nanti.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Saidatul Khatijah Binti Ismail
Pensyarah, Jabatan Pengurusan & Informasi,
Pusat Matrikulasi, Universiti Islam Selangor.
E-mel: