fb fb fb fb fb

Perpaduan & keharmonian, sentiasa ada ruang untuk diperbaiki

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika meraikan rakan-rakan pengamal media pada Majlis Berbuka Puasa MADANI di Angkasapuri, Kuala Lumpur pada 11 Mac 2025/Foto FB Anwar Ibrahim

SAUDARA PENGARANG

Membaca beberapa laporan media, bagaimana Perdana Menteri menyantuni trio ERA fm yang terpalit kontroversi dengan mesej ringkas yang dipetik semua media menjadi tajuk utama ‘jadi ejen perpaduan’, memberi ruang tafsiran mendalam untuk dicermati.

Tanpa menuding jari kesalahan kepada mereka, apatah lagi mengulas panjang namun berpesan agar, kita seharusnya fokus kepada bulan Ramadan. Sebagai pembaca, saya menilai dua perkara. Pertama, apa pun kesilapan kita - masih ada ruang untuk diperbaiki- fokus kepada apa yang boleh dibetulkan dan ditambah baik.

Hikmah sesuatu kejadian yang mengudang pelbagai sokongan dan kecaman adalah untuk muhasabah diri. Bukan sekadar sebagai ejen perpaduan, malah peluang mengharmonikan semula antara khalayak pendengar menjadi peluang terbaik.

Dengan pengaruh dan nama; Nabil, Radin dan Pak Azad serta jenama kukuh Erafm, yang telah sedia ada – terus melihat untuk membuat kebaikan, tanpa terus membuat provokasi, mengharap simpati apatah lagi terus mengipas bara api.

Kedua, meneguh jati diri muslim sejati. Ramadan bukan sekadar menahan diri lapar dan dahaga.  Begitu indahnya Allah menyusun untuk mengangkat darjat hambanya untuk kekal menunjukkan Islam adalah indah, Islam yang berdamai dan Islam yang menjadi contoh tauladan.

Jika mungkin benar, di sebelah pihak sengaja membesarkan isu itu, atau silap memulakan hujah dan punya agenda tersembunyi; di situlah menjadi ‘perkara kebenaran akan terungkap,  dan  benar’; manakala ‘perkara salah akan diperlihatkan salah dan  pincangnya’.

Lantas, adakah semua perkara perlu reaksi emosi? Berbalas kata nista, membuka ruang komen yang tidak terkawal. Lalu sampai bila ia akan berakhir?

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil juga telah menjelaskan mengapa denda RM250,000 berbanding RM10,000 dikenakan kepada pengendali stesen radio swasta, menjelaskan beberapa rasional ekoran beberapa pindaan peruntukan perundangan.

Maka, eloklah kita ambil maklum balas mereka untuk diperhalusi.  Jadikan ini sebagai ‘tempoh bertenang’ dan fokus kembali hak kita kepada Ramadan.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

RAHMAHTUNNISAH SAILIN
Rahmahtunnisah Sailin
Pensyarah Komunikasi dan Media,
Jabatan Bahasa Inggeris dan Komunikasi,
Fakulti Sains Sosial, Universiti Islam Selangor (UIS)

MAT YUNUS BIN SABRI