fb fb fb fb fb

Perlu rangka strategi jangka panjang sebelum pencen dimansuhkan

Foto hiasan/Bernama

SAUDARA PENGARANG

Pekerja sektor awam yang dilantik selepas 1 Februari 2024 tiada jaminan untuk ditawarkan skim pencen seperti penjawat awam yang dilantik sebelum tarikh tersebut.

Namun, sama ada lantikan baharu itu ditawarkan skim pencen atau sebaliknya hanya akan ditentukan selepas kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) selesai melaksanakan kajian berkaitan skim itu dan dimuktamadkan oleh kerajaan.

Justeru untuk tempoh semasa, JPA telah mengarahkan pelantikan secara kontrak dahulu sehingga tempoh kajian selesai. Difahamkan pada pertengahan Februari perkara itu di peringkat akhir kajian.

Apa pun, cadangan pertukaran sistem pencen sektor awam kepada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka dapat mengurangkan beban perbelanjaan kerajaan berikutan unjuran pembayaran pencen yang akan meningkat sekitar RM120 bilion pada tahun 2040.

Namun, perangkaan strategi jangka panjang perlu di lakukan sebelum keputusan ini di muktamadkan.

Terlebih dahulu, perkara utama yang perlu diambil kira adalah tujuan utama sesebuah organisasi dalam sektor awam diwujudkan.

Setiap kementerian, badan berkanun, pihak berkuasa tempatan, dan perbadanan awam mempunyai fungsi tersendiri yang penting dalam memberikan khidmat kepada negara dan seluruh rakyat di Malaysia.

Setiap perkhidmatan sentiasa diberi penambahbaikan selaras dengan pertumbuhan ekonomi dan keperluan rakyat. Segala aspek pengurusan berkaitan kesejahteraan negara berada bawah tanggungjawab ke semua organisasi bawah sektor awam.

Oleh itu, setiap perjawatan sektor awam mempunyai kepentingan dalam memastikan segala urusan berkaitan perkhidmatan negara sama ada dalam aspek kesihatan, keselamatan, pendidikan, ekonomi, kebajikan, persekitaran, dan sebagainya sentiasa stabil dan mampu untuk menjaga kesejahteraan negara dan rakyat Malaysia.

Justeru, keputusan untuk memansuhkan sistem pencen penjawat awam perlu mengambil kira sama ada ianya akan memberi kesan negatif kepada kestabilan organisasi-organisasi sektor awam tersebut.

Jika keputusan tersebut memberikan impak negatif kepada pengurusan dan proses seharian kepada sektor awam, seluruh rakyat juga akan terkesan dengan perkhidmatan yang terganggu. Impak dimaksudkan termasuk sosioekonomi, psikologi, dan komuniti dalam negara.

Pertama, kesan sosioekonomi akan dilihat dalam jangka masa panjang iaitu setelah penjawat awam itu bersara. Pengurusan kewangan individu yang masih lemah boleh menyebabkan pesara KWSP kehabisan wang saraan mereka dalam tempoh singkat.

Ini kerana, sistem KWSP membolehkan pengeluaran wang secara berperingkat tetapi dalam jumlah besar. Sebagai contoh, Akaun 2 KWSP membenarkan pengeluaran sekitar umur 55 tahun, iaitu sebelum umur persaraan sebenar pada usia 60 tahun.

Ditambah lagi dengan kemudahan pengeluaran Akaun 2 untuk membayar deposit rumah, tujuan pendidikan, kesihatan dan lain-lain pada bila-bila masa boleh memberi kesan kepada pengurangan jumlah wang bersara mereka.

Apabila usia mereka mencapai umur persaraan sekitar 60 tahun, sistem KWSP membenarkan pengeluaran wang secara keseluruhan di mana keadaan ini adalah membimbangkan. Tanpa kemahiran pengurusan kewangan yang baik, individu boleh terjebak dengan pengaruh golongan ‘scammer’ dalam kes penipuan dan ada juga yang akan melabur dalam perniagaan tanpa pengalaman sehingga berakhir dengan kerugian seluruh wang saraan mereka.

Tanpa wang saraan mencukupi pada umur 60 tahun dan ke atas, pesara-pesara ini terpaksa bergantung kepada anak-anak mereka yang mungkin masih bekerja. Kesan ini akan menyebabkan keadaan sosioekonomi rakyat berubah akibat bebanan yang terpaksa ditanggung oleh golongan muda.

Kesan ini yang dikenali sebagai Generasi Sandwhich menyebabkan golongan muda yang bekerja harus menanggung beban kewangan ibu-bapa mereka dan pada masa sama harus membelanjakan wang untuk menanggung anak masing-masing yang sedang membesar. 

Keadaan ini boleh memberi kesan kepada ekonomi di mana pendapatan boleh guna (disposable income) isi rumah berkurangam menyebabkan kuasa beli individu menurun. Jika rakyat kurang berbelanja, maka kitaran ekonomi negara akan menjadi kecil.

Kedua, kesan psikologi boleh dilihat daripada segi kesetiaan penjawat awam yang berkurang kerana tiada ikatan untuk mereka menukar kerja pada bila-bila masa.

Sektor swasta akan dilihat lebih menarik kerana faktor gaji yang lebih tinggi, bonus, dan pakej faedah yang lebih baik terutama kepada pekerja berkemahiran tinggi.

Kesan psikologi juga boleh dilihat dari segi kesihatan mental dan motivasi pekerja. Kerisauan penjawat awam dalam memikirkan nasib mereka pada usia persaraan menyebabkan motivasi untuk bekerja boleh terjejas.

Malah, perkara ini juga boleh menyebabkan mereka mempunyai simptom keletihan bekerja yang tinggi menyebabkan faktor emosi dan kesihatan mental mereka terganggu.

Sebenarnya, generasi Y yang sudah mula bekerja ini ada yang sudah pun menjadi sebahagian dari pada generasi Sandwhich; terpaksa menanggung ibu-bapa dan anak-anak mereka pada waktu yang sama.

Sudah tentu keadaan ini memberi impak negatif kepada keadaan psikologi dan boleh menjejaskan kesihatan mental mereka. Oleh itu, penjawat awam yang baru dilantik ini perlu diberikan jaminan sistem persaraan yang mampu memberi kehidupan lebih baik dan terjamin apabila mereka bersara kelak. 

Faktor ketiga iaitu kesan kepada komuniti dan ekosistem boleh terjadi apabila sektor awam tidak mempunyai pekerja mahir mencukupi atau kesan daripada kitaran pemberhentian kerja dan pelantikan jawatan baharu yang terlalu tinggi.

Kesan ini dijangka dapat dilihat terutama dalam sektor kesihatan, pendidikan, dan keselamatan. Pekerja mahir seperti doktor, jururawat, guru atau pensyarah, serta pegawai ICT boleh memilih untuk bekerja dengan sektor swasta atau bekerja di luar negara yang boleh memberikan mereka pakej faedah lebih tinggi.

Bagi sektor keselamatan pula seperti Bomba dan Penyelamat, adakah mereka akan terus bekerja dengan gaji yang lebih rendah tetapi memerlukan kekuatan mental dan fizikal setiap hari dalam pekerjaan mereka yang sentiasa berdepan dengan keadaan yang berbahaya. Keadaan seperti ini meletakkan proses dan kestabilan sektor awan berdepan dengan pelbagai risiko.

Kesimpulannya, perancangan strategi yang merangkumi segala aspek sosioekonomi, psikologi, dan kesejahteraan komuniti perlu diberikan keutamaan. Pemansuhan pencen mungkin dilihat sebagai penyelesaian kepada bebanan kewangan negara, tetapi banyak lagi faktor lain yang akan terkesan dengan keputusan tersebut.

Perancangan strategi jangka panjang untuk mengurangkan bebanan kewangan negara perlu diteliti dengan lebih lanjut, dan mencari solusi lain yang boleh membantu dalam memastikan penjawat lantikan baharu tidak terbeban dengan skim persaraan mereka. 

PENULIS DR. SAFIAH OMAR, Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya. boleh dihubungi melalui emel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI