fb fb fb fb fb

Strategi melahirkan mahasiswa rentas, antara dan pelbagai bidang

Foto hiasan

SAUDARA PENGARANG

Kerangka visi baharu bagi membangun Malaysia MADANI, bertujuan mewujudkan sebuah masyarakat madani, maju terampil dan terangkum.

Dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada 19 Januari 2023, visi tersebut sarat dengan gagasan-gagasan yang perlu dicerakin oleh semua pihak termasuk golongan pendidik di peringkat pendidikan tinggi.

Antara gagasan dinyatakan adalah perlunya mempersiapkan para mahasiswa untuk mampu bekerja, berfikir, dan berhubung rentas, antara dan pelbagai bidang.

Dalam erti kata lain, institusi pengajian tinggi perlu berperanan melahirkan mahasiswa yang mempunyai kemahiran untuk berfikir dan berkomunikasi dalam konteks rentas bidang, antara bidang dan pelbagai bidang.

Menurut Dato' Seri Anwar Ibrahim ini adalah penting memandangkan dalam era pasca normal, masalah-masalah yang muncul adalah rumit, kompleks dan saling berkait dan memerlukan perspektif dan amalan yang rentas bidang, antara bidang dan pelbagai bidang.

Pemerhatian ini juga sesuai dengan kenyataan Albert Einstein yang menyebut bahawa “We can’t solve problems by using the same kind of thinking we used when we created them”.

Rentas bidang melibatkan integrasi bidang-bidang berbeza dalam satu kolaborasi bagi menghasilkan pendekatan lebih holistik.

Manakala antara bidang merujuk kepada pendekatan lebih bersepadu bagi mempelajari dan menangani isu-isu atau masalah-masalah yang kompleks; melibatkan persepaduan ilmu, kaedah dan perspektif daripada pelbagai bidang.

Pelbagai bidang pula adalah pembelajaran dan integrasi ilmu dan kaedah daripada pelbagai bidang tanpa membentuk kolaborasi atau kerjasama di antara mereka.


Antara strategi yang boleh dilaksanakan oleh sesebuah institusi pengajian tinggi adalah bagi melahirkan mahasiswa yang berfikiran rentas, antara dan pelbagi bidang adalah:-

1.Menggalakkan kolaborasi antara bidang

Pelajar-pelajar dari bidang-bidang yang berbeza digalakkan untuk terlibat dalam satu-satu projek dan tugasan dan ini membantu mereka membina pemahaman dari pelbagai perspektif dan cara berfikir yang berbeza. Usaha ini di mudahkan melalui aktiviti-aktiviti berkumpulan, seminar-seminar dan penyelidikan antara bidang;

2.Mengadakan peluang berdialog

Menyediakan peluang-peluang bagi mahasiswa membincangkan tugasan dan idea-idea mereka bersama rakan sebaya dari bidang-bidang yang berbeza membantu mereka membina kemahiran berkomunikasi dan membina perspektif antara bidang. Ini boleh di capai melalui perbincangan berkumpulan yang di terajui oleh mahasiswa, forum-forum antara disiplin atau aktiviti sosial yang tidak rasmi;

3.Menggabungkan kerja kursus antara disiplin

Menggabungkan kerja-kursus antara bidang dalam program-program ijazah boleh membantu mahasiswa membina pemahaman yang lebih luas merangkumi bidang dan perspektif yang berbeza. Ini termasuk bagi kursus-kursus yang melibatkan pelbagai bidang, atau kursus-kursus yang memfokuskan kepada bidang-bidang yang bersilang.

4.Menyediakan latihan dalam kemahiran berkomunikasi

Penyediaan latihan dalam kemahiran berkomunikasi seperti penulisan yang efektif, percakapan awam, dan komunikasi visual, boleh membantu mahasiswa membina kemahiran yang perlu untuk komunikasi merentas bidang. Latihan ini boleh di sepadukan ke dalam kerja kursus sedia ada atau mengadakan bengkel-bengkel yang berasigan.

5.Membina budaya pemikiran antara bidang

Mencipta budaya yang memberi nilai kepada pemikiran antara bidang boleh membantu mahasiswa memahami kepentingan terhadap memahami sesuatu masalah daripada pelbagai perspektif. Ini boleh di capai melalui menggalakkan penyelidikan antara bidang, menganjurkan aktiviti atau program antara bidang dan menonjolkan kepentingan kolaborasi antara bidang.

Mahasiswa perlu dipersiapkan dengan segala kemahiran yang perlu bagi mereka berhadapan dengan isu-isu dan masalah-masalah yang akan muncul pada masa akan datang yang memerlukan pemikiran luar kotak.

Selain daripada mempunyai pelbagai perspektif bagi satu-satu isu, mahasiswa juga perlu menyesuaikan solusinya dengan konteks masyarakat dan budaya setempat.

PENULIS AHMAD YANI ISMAIL
ialah Pensyarah/Penyelidik Pusat Penyelidikan Antarabangsa Ekonomi dan Kewangan Islam
Universiti Islam Selangor

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Media Baharu