fb fb fb fb fb

Tirai Manik: Antara kritik dan fitnah

(FOTO HIASAN)

SAUDARA PENGARANG

Hak kebebasan bersuara merupakan sebahagian daripada hak asasi manusia dan selari dengan itu tarikh 10 Disember setiap tahun telah diisytiharkan sebagai Hari Hak Asasi Manusia oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Justeru, setiap manusia sewajarnya bebas untuk memberi pendapat, idea mahu pun kritikan. Hak kebebasan bersuara adalah satu keperluan dan penting bagi setiap individu. Melalui hak bersuara, setiap individu berupaya untuk mempertahankan diri sendiri, membantu individu lain dan masyarakat, menyebarkan informasi yang bermanfaat serta boleh terlibat sama dalam pembangunan sesebuah negara.

Kini, kepesatan teknologi telah menjadikan manusia berani kehadapan menyuarakan pendapat terutamanya menerusi platform media sosial. Kewujudan media baharu itu ibarat seperti cendawan tumbuh selepas hujan seiring dengan kelajuan perkembangan teknologi maklumat.

Namun harus diingatkan kebebasan bersuara perlu ada batasnya. Termasuk juga kebebasan memberi kritikan jangan sampai menjadi fitnah. Di Malaysia, Perlembangaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi di Malaysia; jadi tidak ada mana-mana pihak yang istimewa di sisi undang-undang.

Hak kebebasan bersuara juga telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 10 (1) (a) menyatakan bahawa setiap warganegara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara.

Hal itu, sama seperti termaktub dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat Perkara 19 menyatakan setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran. Hak itu termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan.

Masyarakat perlu sedar hak kebebasan bersuara yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan ada kawalan dan had tertentu. Oleh itu, kebebasan bersuara seharusnya digunakan secara berhemah dan pada saluran betul.

Setiap pendtabiran memerlukan pandangan dan kritikan sebagai semak dan imbang (check and balance) bagi memastikan tiada penyelewengan kuasa dan meningkatkan kualiti tadbir urus.

Pada dasarnya kritikan adalah perkara yang baik bertujuan untuk penambahbaikan. Namun, kritikan membina dan konstruktif mestilah bersifat jelas, benar, tidak menyinggung perasaan dan disampaikan dengan menggunakan bahasa yang mudah difahami. Ini bagi mengelakkan salah faham berlaku di antara pihak terlibat.

Sememangnya, negara demokrasi tidak dapat lari dengan kritikan malahan meraikan perbezaan pendapat adalah kunci utama bagi keharmonian sejagat. Dalam keghairahan memberi kritikan jangan sampai melangkaui sempadan sehingga menjadi fitnah. Walaupun ruang kebebasan untuk mengkritik terbuka luas namun Malaysia adalah negara yang mempunyai undang-undang.

Undang-undang adalah pengikat kepada segala bentuk kebebasan yang diberikan. Bertepatan dengan Lima Prinsip Rukun Negara, salah satu ialah Keluhuran Perlembagaan yang menuntut setiap rakyat untuk patuh dan hormat kepada Perlembagaan. Kepatuhan kepada Perlembagaan adalah satu tanggungjawab kepada setiap individu di Malaysia dan hasilnya rakyat berbilang kaum dapat meneruskan kelangsungan hidup dalam keadaan aman.

Tidak dapat dinafikan bahawa dunia digitalisasi telah mengubah landskap kehidupan manusia sehingga mempengaruhi tingkah laku individu. Ini dapat dilihat apabila media sosial telah dijadikan sebagai platform untuk meluah perasaan dan berkongsi pandangan. Satu kepuasan yang diperolehi setiap kali selesai mengemas kini status di media sosial.

Namun, media sosial juga telah dijadikan tempat penyebaran fitnah melalui perkongsian penulisan dan video yang tidak sahih. Fitnah adalah perkara yang tidak mempunyai asas, maklumat yang disampaikan telah ditokok tambah serta bermotifkan niat jahat. Ini bercanggah dengan amalan demokrasi negara malah bertentangan dengan ajaran agama.

Lebih serius, fitnah adalah satu pencabulan atas Perkara 10 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan yang boleh dikenakan tindakan undang-undang. Fitnah yang menjurus ke arah penghinaan boleh didakwa bawah Sesyen 4 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Manakala Fitnah yang membawa kepada hasutan pula adalah tertakhluk bawah Seksyen 3 (1) akta Hasutan 1948.

Antara kritikan dan fitnah seperti umpama kaca dan permata. Pentingnya masyarakat menilai dan membezakan antara kritikan dan fitnah sebelum bersuara. Sentiasalah beringat bahawasanya hak kebebasan bersuara bukan sesuatu yang mutlak. Jadilah masyarakat yang lebih cakna dan bijak supaya amalan demokrasi dapat dirancakkan dalam persekitaran yang sihat.

PENULIS NURSYAMSINAS AZRINA BADRUL HISHAM ialah Penolong Pengarah Amanjaya Holdings and Ventures Sdn Bhd.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Media Baharu