fb fb fb fb fb

Teroka daya tahan universiti era pelestarian sumber

17 Matlamat SDG/Kementerian Ekonomi

SAUDARA PENGARANG

Menyingkap tirai Malaysia Madani dan menyediakan kerangka utama pendidikan tinggi pascapandemik merupakan antara cetusan pembudayaan ke arah persediaan universiti mendepani rencam cabaran pendidikan “era digital”.

Setelah puluhan tahun universiti menyediakan keperluan bakat untuk pasaran pekerjaan dan kepakaran tertentu kumpulan professional dalam bidang tujahan negara, sedikit sebanyak cabaran semasa universiti di Malaysia dan seluruh dunia berubah; zaman pengujian ketahanan fiskal kewangan (akademik, penyelidikan dan instrumen pembiayaan pelajar) dan prasarana yang menuntut ciri lebih lestari serta mesra pengguna di kampus.

Statistik semasa menunjukkan pasaran pekerjaan bagi graduan dalam sektor tertentu hampir tepu dan tiada penambahbaikan dalam elemen penggajian mengakibatkan terdapat kursus di universiti yang memerlukan perubahan drastik, selain ada kalangan Universiti Awam yang telah “berusia” melebihi 50 tahun dan memerlukan penyelenggaraan berkala secara mampan tanpa melibatkan kos yang tinggi.

Pertambahan universiti-universiti lebih “muda” merancakkan komitmen negara menyediakan kumpulan profesional dan separa profesional mencapai sekurang-kurangnya 30-45% daripada populasi  dewasa menerima pendidikan tinggi. Bagaimanapun, elemen kelestarian dan strategi tepat mesti dilaksanakan.

Antara isu dan cabaran semasa yang bakal dihadapi oleh para pentadbir universiti adalah melibatkan pengurusan secara holistik, bersasar dan memperkasakan sumber sedia ada serta berpotensi untuk diterokai ke arah kemampanan institusi.

Ini termasuklah menyediakan graduan berkemahiran khusus dalam bidang tertentu, ketersediaan pembiayaan model perniagaan dan keusahawan, serta nilai tambah pemerkasaan subjek/kurikulum yang lebih bersifat fleksibel (program industri, mikro kredit dan pembelajaran secara maya).

Terdapat pelbagai strategi dan insiatif yang sedang diterokai termasuk dalam penyediaan penjanaan sumber kewangan dan penglibatan pelaburan jangka masa panjang menerusi inovasi, produk serta perkhidmatan merentasi teras utama pendidikan tinggi.

Universiti pada masa kini sudah mempunyai prolifik dalam bidang teras akademik dan ini membantu kelestarian menepati keperluan global seperti Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) dan Pendidikan untuk Pembangunan Mampan (ESD).

Justeru, hasrat Kementerian Pengajian Tinggi menerusi amanat tahun baharu 2023 adalah membolehkan universiti melaksanakan dasar ketidakbergantungan dana awam dan fleksibiliti penerokaan penjanaan sumber merupakan antara intipati dalam kerangka Malaysia Madani.

Berdasarkan instrumen analisis yang dibentangkan oleh beberapa universiti di Malaysia menunjukkan perubahan ketara terutama dalam keterlibatan universiti meneroka sektor penjanaan keperluan kerjaya baharu, pemerkasaan sumber bakat, pengurusan bersepadu perkhidmatan kampus serta perlaksaan dasar-dasar membangunkan keperluan kelestarian.

Terdapat dalam kalangan universiti yang telah menggunakan acuan kelestarian dalam pembangunan inovasi dan pengurusan sumber di kampus, antaranya pengurusan tenaga dan sisa. Ada juga universiti yang telah mempunyai pelaburan strategik melibatkan inovasi tenaga hijau dan penggunaan produk hijau serta penubuhan unit/pusat perkhidmatan agenda kelestarian.


(Universiti Teknologi Mara)

Usaha itu memberikan hasil segera terhadap komitmen kampus menyertai sumbangan berterusan terutamanya segmen alam sekitar.

Bagaimanapun, kebanyakan universiti kurang memberi penekanan kepada faktor sosioekonomi, tadbir urus atau governans dan libat urus sektor perkhidmatan di kampus.

Elemen kritikal ini merupakan kriteria yang sudah dimasukkan dalam perancangan strategik universiti cuma sasaran yang tidak bersinergi menerusi penerapan makmal hidup menyebabkan hasil akhir hanya membantu sebahagian kecil kumpulan sasar di universiti.

Justeru, penglibatan dan komitmen universiti secara serius adalah sejajar dengan libat urus berpaksikan metrik lebih bersifat global seperti ESG. Komponen rubrik dan indeks ESG ini sebenarnya merupakan sasaran strategik di peringkat pengurusan tertinggi bagi membolehkan segala dasar perlaksanaan kelestarian ini digembleng secara komprehensif, bukan sekadar kosmetik pelan tindakan di atas kertas.

Pengwujudan instrumen pelaporan, analitik data dan komitmen dalam komponen ESG akan membantu pelarasan semula daya tahan universiti untuk jangka masa tertentu.

Prasyarat ini bakal meminimumkan risiko ketidakupayaan universiti melaksanakan kepelbagaian pengurusan kewangan (termasuk pelaburan strategik) dan sumber secara berfasa, selain membantu pengukuhan nilai teras kualiti akademik serta penyelidikan.

Sebagai contoh, UTM sudah mempunyai kerangka asas “Sustainable Blueprint 2030” mencakupi elemen inisiatif strategik, pelan tindakan dan sasaran semasa bagi tiga fasa perlaksanaan serta menghakupayakan komponen sokongan (polisi, strategik envision 2025, dan lain-lain) mengikut keunikan universiti sendiri.

Kriteria pengukuran ini akan melibatkan peringkat pertama ESG (Part 1: ESG) menerusi libat sama kumpulan/individu yang membantu keupayaan nilai tambah (sub-elemen ekonomi, sosial, alam sekitar, tadbir urus) yang jauh lebih baik bagi daya tahan Universiti.

Tanpa pemerkasaan subelemen ini di peringkat dasar, universiti bakal merisikokan nilai penarafan global dan reputasi akademik di peringkat antarabangsa. Tambahan pula, Malaysia dalam menjustifikasi kemampuan ekonomi sumber baharu seperti IoTs, AIs, keterjaminan sektor kritikal seperti pertanian, tenaga, dan perindustrian 4IR.

Secara umumnya, kerangka kelestarian di universiti perlu mempunyai jiwa dan motivasi tambahan dalam perlaksanaan yang bukan sekadar retorik persediaan agenda global tetapi memastikan kelangsungan universiti berteraskan 5P (People, Prosperity, Partnership, Peace and Planet) serta dasar umum pendidikan tinggi dapat dicapai.

Penglibatan pemegang taruh dan kumpulan sasar perlu jelas dan holistik bagi menjustifikasi tindakan berimpak secara berterusan.

Keanjalan dalam perlaksanaan adalah penting kerana konsep lestari itu sendiri memberi penekanan kepada proses berbanding tertumpu kepada pencapaian KPI semata-mata.

Semoga ini bakal memberikan kelebihan kepada mana-mana universiti menerokai keunikan instrumen universiti masing-masing.

PENULIS PROF IR. TS. DR. MOHD FADHIL MD DIN, Pengarah Pelestarian Kampus UTM, Jabatan Canseleri UTM/FELO Penyelidik IPASA dan Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Air dan Alam Sekitar.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Media Baharu