fb fb fb fb fb

Model baharu kelestarian sumber

Foto hiasan

SAUDARA PENGARANG

Secara umum, kesedaran dan cakna perubahan iklim telah menjadi perbahasan utama menerusi tindakan global dan agenda setempat.

Bertepatan dengan enam tonggak utama Malaysia Madani, terutamanya kemampanan dan kesejahteraan, cabaran kerangka alam sekitar bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim telah mengenal pasti 26 inisiatif langsung (Pelan Kelestarian Alam Sekitar 2020-2030) bagi menyediakan kemampanan dan ketahanan negara mendepani cabaran pasca bencana.

Secara saintifiknya, Malaysia adalah antara negara yang telah memberikan komitmen mengenai pelepasan gas rumah hijau, sokongan berterusan Sifar Karbon Bersih (Net-Zero Carbon), pengenalan pembiayaan hijau melalui bank perdagangan serta beberapa inisiatif tidak langsung dalam menjana model perniagaan bersifat inklusif terhadap cabaran semasa dan akan datang.

Malaysia juga merupakan antara pelopor dalam memperkemaskan data saintifik menerusi EPI (Environmental Performance Index), data asas sumber penghasilan karbon daripada sektor-sektor kritikal, dan beberapa pelaporan umum mengenai isu alam sekitar di peringkat nasional.

Melalui beberapa kajian saintis terutama melibatkan adaptasi dan daya tahan lokaliti terhadap perubahan iklim ini, memberikan data paling signifikan mengenai tindak balas berantai yang boleh menyebabkan impak langsung.

(Foto hiasan)

Pada masa depan, keperluan pelaporan daripada saintis alam sekitar dan kemampuan penjanaan laporan interaktif (berteraskan fakta berkala) adalah amat diperlukan bagi tujuan perancangan mitigasi.

Menerusi portal rasmi data.gov.my telah menyediakan sebanyak 485 data terkait dengan alam sekitar, termasuk data tahunan daripada pelbagai sumber kementerian dan agensi (termasuk pihak berkuasa tempatan serta kerajaan negeri).

Salah satunya ialah mengenai kemerosotan biokepelbagaian (flora dan fauna) yang mempengaruhi perubahan ekosistem di lokaliti tertentu.

Perubahan itu akan menyebabkan ciri biologi dan fizikal biosfera/hidrosfera sesuatu kawasan atau zon berubah dan menyebabkan kacau-ganggu berpanjangan.

Isu ini termasuk dalam rantaian jaminan ekologi yang mempengaruhi suhu bumi, keseimbangan biologi dan perubahan rantaian makanan.

Kajian sejak beberapa tahun ini mendapati peningkatan suhu bumi telah menyebabkan persekitaran hutan bakau (dan ekosistemnya) telah mengalami kepupusan walaupun beberapa inisiatif penanaman semula telah dilaksanakan.

Penerobosan air laut (kemasinan) sehingga ke bahagian pertengahan muara sungai telah menyebabkan ketidakseimbangan koridor pantai dan menyebabkan spesis tertentu (seperti siput, kerang dan hidupan marin yang lain) telah mengalami kemerosotan populasi.

Terdapat beberapa lokasi utama sumber makanan marin (hasil laut dan produk hiliran) kepada penternak komersial, nelayan dan pengendali industri akuakultur telah mengalami defisit kelangsungan sumber.

Jika tidak ditangani segera, negara akan mengalami penyusutan kebergantungan sumber tempatan.

Selain itu, kacau-ganggu yang berterusan daripada aktiviti manusia (pelepasan sumber buangan) juga menjadi penyumbang utama dan mempercepatkan dominasi perubahan alam sekitar.

Sumber buangan daripada gas industri (termasuk logistik dan mobiliti) dan efluen adalah antara penyumbang berterusan kepada cabaran semasa, walaupun penguatkuasaan dan pemantauan dilaksanakan secara bersasar.

Dalam konteks semasa, piawaian yang dinyatakan dalam mana-mana akta atau peraturan merupakan kemestian dalam perlaksanaan.

Bagaimanapun, cabaran pada masa kini adalah perlaksanaan lebih serius terutamanya dalam memperkenalkan model baharu pematuhan alam sekitar seperti pengenalan sistem “pay per polluter” kepada industri tertentu, jumlah saman atau bentuk hukuman kepada pencemar alam sekitar dan pengurusan berbentuk holistik.

Menerusi Dasar Alam Sekitar Negara, pengurusan secara mampan elemen persekitaran adalah tunjang utama perlindungan sumber dan pencegahan bentuk pencemaran di mana-mana lokaliti.

Ini dibuktikan menerusi satu kenyataan media mengenai komitmen kerajaan terhadap mana-mana penerokaan tanah tinggi (terutamanya di Cameron Highlands) yang mencadangkan penyelarasan operasi serta pasukan pemantau dalam situasi kritikal perlindungan sumber dan mencegah kes-kes seperti gelongsoran dan banjir lumpur.

Adalah penting model atau kerangka jaminan mengenai alam sekitar serta kelestarian ini dijadikan agenda rakyat bagi menyantuni pelbagai inisiatif pengurangan risiko kacau-ganggu kepada persekitaran.

Bagi mengekalkan komitmen itu, Kerajaan Madani telah memperkasakan Dasar Alam Sekitar Negara (DASN) melalui aktiviti berteraskan proses memutuskan keputusan, kawalan kendiri, berpaksikan pertumbuhan ekonomi, dan kesejahteraan rakyat serta hubungkait ekosistem.

Justeru, penstrukturan lebih bersasar dan bertanggungjawab, adalah penting dalam menyediakan Malaysia yang jauh lebih mampan pada masa depan.

PENULIS PROF IR. TS. DR. MOHD FADHIL MD DIN, Pengarah Pelestarian Kampus UTM, Jabatan Canseleri UTM/FELO Penyelidik IPASA dan Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Air dan Alam Sekitar

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM

Media Baharu