fb fb fb fb fb

Memanfaatkan media digital dalam mencipta peluang pekerjaan

Khairul Aming, usahawan muda dan selebriti media sosial/Foto FB Khairul Aming

SAUDARA PENGARANG 

Dalam era teknologi digital, peluang meneroka pasaran ekonomi digital turut terbuka luas. Tanpa kedai, butik atau restoran, seseorang individu mampu mencipta kerjaya dan menjana pendapatan.

Apatah lagi jika kemahiran komunikasi dan teknologi seiring dengan kemampuan; membentuk identiti dan jenama produk atau perkhidmatannya sendiri.

Melalui media digital, setiap orang berpeluang untuk menjana pendapatan secara bersendirian (one man show) atau turut membuka peluang kepada mereka yang memerlukan pendapatan.

Faktanya kini, seorang influencer masakan yang berlatarbelakang kelulusan kejuruteraan adalah lebih popular daripada artis sehingga mampu meraih pendapatan jauh lebih tinggi.

Siapa yang tidak mengenali Khairul Aming yang mempunyai 3.5 juta pengikut di Instagram dan 35 ribu pengikut di Facebook.

Melalui penjenamaan personal yang  dicipta melalui media sosial setelah enam tahun memproduksikan video masakan, kini mampu menjadi usahawan yang hanya menjual sambal melalui platform Shopee dengan pendapatan RM21.5 juta dalam masa dua tahun.

Soloz pula atau kini dikenali ‘Maharaja Soloz’ mencipta fenomena tersendiri sebagai atlet e-sukan dan juga streamer Facebook Gaming. Nama sebenar beliau ialah Muhammad Faris Zakaria merupakan pemain profesional permainan video penstriman Mobile Legends: Bang Bang.

Soloz menjadi terkenal seluruh dunia sehingga mampu mencipta kerjaya yang pada peringkat awal hanya merupakan hobi. Melalui akaun Youtube, beliau mempunyai 1.66 juta subscribers yang mana video terbaharu mempunyai 117 ribu tontonan dalam masa 20 jam.

Kerjaya terkini beliau adalah sebagai penghibur penstriman langsung bawah program Facebook Gaming Creator.

Ini membuktikan bahawa kerjaya ini bukanlah sia-sia dan ia bukan sekadar bermain game.

Terkini, laporan media tempatan menjadi tular apabila hasil perniagaan melalui aplikasi TikTok, seorang remaja berusia 14 tahun, mampu membayar zakat perniagaan RM10,000 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Masih bersekolah di Tingkatan Dua, Putri Mumtaz Sunnafis Luthfiya yang juga pengasas produk pemakanan menunaikan tanggungjawab itu selepas produk yang  diusahakannya mencapai jualan  RM400 ribu dalam tempoh empat bulan mula dijual. Terkini akaun TikTok, usahawan remaja ini mempunyai 86.3 ribu pengikut dan menerima 1.4 juta likes.

Maka, masihkah relevan jika anak muda atau graduan masih lagi berkeluh kesah, risau tiada pekerjaan? Atau, adakah memilih untuk tidak melanjutkan pengajian lebih tinggi lebih baik?

Jika diimbas kembali, sejak awal tahun 2000 isu peluang pekerjaan kepada lepasan graduan telah dibincangkan  dan menjadi kebimbangan yang berlarutan. Ketika itu pelbagai inisiatif kerajaan dan swasta membantu graduan yang masih tiada peluang pekerjaan.

Namun, kini zaman media digital. Semuanya perlu berubah seiring zaman. Cara penyelesaian krisis negara juga berubah.

Lambat? Tertinggal!

Putri Mumtaz Sunnafis Luthfiya Mohd Mustamaman hadir ke Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan untuk membayar zakat perniagaan/Foto MAIK

PERKEMBANGAN TERKINI DUNIA MEDIA DIGITAL

Laporan Malaysia Digital Economy Corporation 2022, mengunjurkan pertumbuhan Industri kreatif di Malaysia meningkat dengan permintaan untuk bakat berkembang kepada lebih 7.59% dalam tempoh 3 tahun akan datang sehingga 2025.

Ia merupakan suatu fenomena yang baik lebih-lebih lagi dengan sokongan daripada sub-sektor media dan komunikasi. Ini menunjukkan potensi besar untuk peluang pekerjaan dalam bidang ini.

Menurut laporan Job Outlook pada tahun 2022 oleh CareerBuilder pula, kerjaya dalam bidang media dan komunikasi dijangka akan mengalami pertumbuhan sebanyak 6%. Ini menunjukkan permintaan yang tinggi untuk profesional media dan komunikasi yang mempunyai kemahiran dan keupayaan yang relevan.

Ini menunjukkan bahawa, perkembangan teknologi digital  yang pesat turut membuka peluang baru untuk pekerjaan dalam bidang media dan komunikasi, termasuk sebagai penyedia kandungan digital, pemasaran digital, dan pengurusan media sosial seperti yang dinyatakan oleh Jobstore, 2022.

Selain itu, sedar atau tidak pertumbuhan industri hiburan di Malaysia terus berkembang pesat dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Meskipun sedikit terganggu kesan pandemik COVID-19, namun ia  kembali merancakkan industri hiburan.

Jadi, produksi filem, televisyen (TV), dan muzik menawarkan peluang bagi profesional media dan komunikasi yang mempunyai kemahiran yang berminat untuk bekerja dalam industri hiburan. Tenaga kerja mahir dan kreatif seperti editor filem dan rancangan TV, grafik dan multimedia, animasi dan penata bunyi, selain pelakon serta penulis skrip dan lirik.

Beberapa faktor yang menjadikan bidang ini mempunyai potensi kerjaya pada masa hadapan adalah disebabkan oleh permintaan yang tinggi sumber insan bidang media dan komunikasi. Ini kerana industri media digital sedang berkembang pesat dan permintaan untuk pekerja dalam bidang ini semakin meningkat dari tahun ke tahun.

Selain itu, ia disebabkan media digital adalah industri global, maka graduan mempunyai peluang untuk menimba pengalaman internasional. Ini kerana, terdapat banyak institusi bidang ini yang mencari pekerja dari pelbagai negara, sehingga memberikan kesempatan pengalaman berharga untuk bekerja di luar negara.

Situasi ini memberi peluang kepada mereka mendapatkan gaji yang lebih tinggi disebabkan kadar tukaran asing. Permintaan yang tinggi dalam bidang profesional ini menjadikan kerjaya dalam bidang media dan komunikasi suatu peluang terbaik untuk diceburi. Ini kerana pekerja industri media digital kebiasaannya mendapat gaji yang lebih baik daripada pekerja di industri lain.

Industri media digital ini secara tidak langsung mewujudkan fenomena ekonomi gig disebabkan berlakunya fleksibiliti dalam ruang pekerjaan. Tugasan pekerjaan dalam industri ini dapat dilakukan dari jarak jauh atau bekerja secara mobile. Ini memberi ruang kepada fleksibiliti kepada pekerja dalam menentukan waktu dan tempat kerja.

Individu yang bekerja dalam bidang media digital tidak terikat dengan masa dan tempat ini juga dikenali sebagai "nomad digital".  Nomad digital ialah seseorang yang menggunakan teknologi digital dan internet untuk bekerja dari jarak jauh, biasanya dari lokasi yang berbeza, seperti kafe, ruang kerja bersama, atau bahkan dari rumah mereka sendiri.  Mereka mempunyai kebebasan untuk menyesuaikan jadual kerja dan lokasi mengikut keperluan dan pilihan peribadi. 

Ternyata zaman teknologi dan media digital sangat baik untuk dimanfaatkan untuk perkara-perkara yang boleh memajukan diri sendiri, organisasi malah negara keseluruhannya.

Secara asasnya, bidang ini menawarkan pelbagai peluang pekerjaan di pelbagai sektor. Antara peluang pekerjaan yang boleh ditemui dalam bidang media dan komunikasi ialah penerbitan rancangan, perhubungan awam, komunikasi korporat, pemasaran dan pengiklanan, pengurusan media sosial, penerbitan dan penyuntingan, pengajaran dan penyelidikan serta pembangunan kandungan aplikasi digital.

Pekerjaan di bidang ini biasanya memerlukan kreativiti, kemahiran komunikasi, kemahiran menulis, kemahiran kerja berkumpulan, kemahiran kepemimpinan dan kemampuan untuk beradaptasi dengan teknologi terbaharu.

Malah dengan keterlibatan dan kadar ketembusan media sosial yang terus meningkat di Malaysia menciptakan permintaan untuk profesional media dan komunikasi yang berketerampilan, faham etika dan undang-undang media. 

Namun perkara yang tetap perlu dipegang erat, dijaga rapi adalah adab, etika dan kefahaman terhadap undang-undang. Selain itu, individu juga perlu menjaga sensitiviti beragama dan memelihara keharmonian negara.

Seperti industri kreatif lainnya, persaingan dalam bidang media dan komunikasi sangat sengit. Oleh kerana itu, bakal graduan di bidang ini perlu menimba pengalaman semasa latihan industri serta mendapatkan kemahiran yang lebih untuk memperoleh tempat bekerjaya dalam industri yang terus berkembang ini.

GRADUAN MASIH MENGANGGUR?

Setiap tahun isu pengangguran dalam kalangan graduan terus dibincangkan di Malaysia. Impak pandemik COVID-19, bukan sahaja kepada graduan, malah mereka yang sebelum ini mempunyai pekerjaan tetap turut menerima tempias hilang pekerjaan dan sumber pendapatan. Ini susulan syarikat atau organisasi tempat kerja yang terpaksa mengecilkan operasi, kos dan sumber tenaga kerja. Malah ada syarikat yang terus menutup operasi akibat kerugian besar dan hutang yang ditanggung.

Antara faktor pengangguran ini adalah disebabkan kemahiran teknologi yang terhad, keupayaan kemahiran berkomunikasi yang rendah, kurangnya pengalaman, pasaran yang terhad dengan persaingan yang tinggi menjadi faktor utama masih ramai graduan yang belum mendapat pekerjaan.

Sama halnya dengan graduan dalam bidang media dan komunikasi. Salah satu faktor utama, ekoran terdapatnya jurang antara kemahiran yang diperoleh semasa pengajian dengan keperluan industri.

Tidak dinafikan bahawa di universiti, graduan telah dilengkapkan dengan kemahiran asas dalam bidang media dan komunikasi. Namun industri media dan komunikasi terkini memerlukan kemahiran yang lebih spesifik dan berkaitan dengan teknologi digital.

Maka, menjadi keperluan tambahan kepada graduan untuk meneroka kemahiran baharu dengan inisiatif diri dari masa ke semasa. Ia agar seiring dengan keperluan tersebut di industri.

Kefahaman dan kemahiran menulis kandungan media (seperti program televisyen, radio dan surat khabar) sewajarnya telah sebati dan boleh dipaktis apabila diperlukan. Hanya house style dan perisian teknologi (software) organisasi media sahaja yang berbeza. Maka kecekapan mengadaptasi perubahan ini perlu tindakan segera bersama kesungguhan dan keinginan yang tinggi.

Namun begitu, adalah mengecewakan sekiranya graduan media yang mengkhusus kepada penyiaran dan kewartawanan misalnya tidak menjadikan radio, televisyen dan akhbar sebagai ‘teman setia’ mereka. Lebih membimbangkan, mereka sendiri tidak mendengar radio dan tidak menonton televisyen. Natijahnya mereka tidak memahami kandungan dan format radio dan televisyen.

Turut meresahkan apabila mereka tidak dapat membezakan genre dan gaya penyampaian majalah, dokumentari, laporan khas dan bicarawara. Gaya penyampaian penyampai radio dengan wartawan mahupun pengacara dan pembaca berita juga perlu penelitian dan pengulangan yang fokus dan teliti.

Dalam konteks ini, sudah tentulah televisyen dan radio itu sendiri adalah medium pembelajaran paling efektif dan terbaik. Perlu menonton dan mendengar.

Tidak dapat dinafikan, bahawa minat dan kesungguhan, juga kekeliruan tentang format genre yang wujud ini disebabkan oleh pengaruh ciri-ciri media digital dan media sosial yang lebih akrab dengan anak muda generasi kini.

Oleh itu, penting bagi graduan dalam bidang media dan komunikasi untuk terus mengambil inisiatif dalam meningkatkan kemahiran dalam memantapkan asas ilmu bidang ini sebelum memasuki pasaran kerja yang sebenar.

Jadi graduan perlu peka, semua ini perlu bermula semasa dalam pengajian lagi. Malah telah terdapat pelbagai insentif daripada kerajaan seperti Institut Penyiaran Tun Abdul Razak (IPTAR), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan agensi-agensi berkaitan seperti FINAS dan pelbagai pertubuhan yang sering menyediakan dana dan latihan khusus wajar diambil manfaat sepenuhnya. Ini bakal melahirkan orang media dan komunikasi yang berketrampilan untuk industri ini.

PELUANG KERJAYA BIDANG MEDIA DAN KOMUNIKASI 

Pelbagai agensi media tradisional dan platform digital yang masih memerlukan penyampai berita, wartawan, penerbit dan krew teknikal penerbitan untuk menghasilkan kandungan berkualiti dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan sahih kepada masyarakat.

Walaupun wujudnya internet dan media sosial yang memudahkan seseorang membina platform untuk siaran sendiri, namun kepentingan dan kepercayaan masyarakat terhadap kredibiliti kerjaya bidang media dan komunikasi masih tetap tinggi.

Selain itu, perkembangan teknologi dan keperluan untuk memproduksi kandungan digital berkualiti tinggi juga telah membuka peluang baru dalam bidang media dan komunikasi, seperti produksi video, podcast, dan live streaming. Oleh itu, bidang ini masih mempunyai potensi yang besar untuk berkembang pada masa kini dan masa depan.

Perbezaan antara graduan bidang media dengan graduan dalam bidang lain adalah terletak pada pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh semasa pengajian mereka. Graduan bidang media biasanya mempunyai pengetahuan yang lebih khusus mengenai teknologi, seni visual, komunikasi, pengurusan projek dan strategi pemasaran dalam industri media dan komunikasi.

Selain itu, mereka juga mempunyai kemahiran dalam penyuntingan video, audio, dan penulisan kreatif yang diperlukan dalam industri ini. Oleh sebab itu, graduan media dan komunikasi lebih mudah diterima dalam pekerjaan di industri media seperti kewartawanan, pengiklanan, produksi video, dan penulisan skrip. Namun, graduan dalam bidang lain masih mempunyai peluang untuk bekerja dalam bidang media jika mereka mempunyai kemahiran dan pengetahuan yang berkaitan dengan industri ini.

Walaupun begitu, kerjaya media dan komunikasi tidak semudah yang disangka. Terdapat kepercayaan yang skeptikal bahawa mempunyai rupa paras yang menarik dan sedikit bakat sudah cukup untuk menempatkan diri dalam kerjaya ini.

Realitinya, graduan perlu bersaing dengan pelbagai cabaran dalam dunia media yang semakin kompetitif. Cabaran-cabaran tersebut termasuklah kemampuan untuk terus mengemaskini pengetahuan dan kemahiran mengikut perkembangan teknologi media. Malah mereka juga perlu beradaptasi dengan perubahan dalam media sosial dalam mengekalkan relevansi dalam industri media.

Selain itu, graduan perlu mengasah kemahiran komunikasi, kepimpinan, dan bekerjasama dengan baik dengan rakan sekerja untuk mencapai kejayaan dalam kerjaya mereka. Ini memerlukan graduan mempunyai keupayaan untuk beradaptasi dengan perubahan dan mempunyai kemahiran teknikal untuk menghasilkan kandungan media yang berkualiti.

Sangat penting bagi graduan dalam bidang media dan komunikasi untuk meningkatkan kualiti dari segi kemahiran komunikasi dan teknikal. Di era digital dan globalisasi ini, persaingan dalam industri media semakin ketat dan kecenderungan ke arah digital semakin pesat.

Oleh itu, graduan media dan komunikasi juga perlu mempunyai kemahiran-kemahiran yang mencakupi aspek teknikal, kreatif dan juga kemahiran sosial untuk bersaing dengan calon-calon lain yang juga berminat dengan kerjaya ini.

Jadi, jika graduan media dan komunikasi mempunyai minat yang kukuh dalam bidang ini, serta mempunyai kemahiran-kemahiran yang mencukupi, mereka mempunyai peluang yang lebih besar untuk lebih terkehadapan.

Peluang kerjaya bagi lulusan media dan komunikasi tetap terbuka luas, terutama dengan kemajuan teknologi media digital yang mewujudkan pelbagai platform media dan saluran komunikasi digital.

Melalui pembangunan kemahiran komunikasi dan teknikal yang berterusan, graduan media dan komunikasi akan dapat meningkatkan daya saing mereka dalam pasaran kerja dan mempunyai peluang yang lebih baik untuk maju dalam kerjaya mereka.

Kebanyakan majikan juga akan memberi keutamaan kepada calon yang mempunyai kemahiran tambahan dan dapat memberikan nilai tambah kepada syarikat mereka. Oleh itu, graduan perlu sentiasa memantapkan kemahiran mereka dan berusaha untuk mempelajari perkara baru yang berkaitan dengan bidang media untuk terus berdaya saing dalam pasaran kerja.

Meskipun populariti yang ada dalam bidang media dan komunikasi memungkinkan individu menjadi orang media walaupun tanpa latar belakang pendidikan formal, namun keperluan industri tetap memerlukan orang yang memiliki pengetahuan, keterampilan, dan kemahiran teknikal yang tepat.

Ini menunjukkan bahawa latar belakang pendidikan formal dalam bidang komunikasi dan media sangat diperlukan dan sangat dihargai oleh industri.

PENULIS, DR MD ROZALAFRI JOHORI merupakan Pensyarah Kanan, Program Komunikasi (Penyiaran), Jabatan Bahasa Inggeris dan Komunikasi, Fakulti Pengurusan dan Muamalah, Universiti Islam Selangor (UIS) dan RAHMAHTUNNISAH SAILIN - Pensyarah, Program Komunikasi (Penyiaran), Jabatan Bahasa Inggeris dan Komunikasi, Fakulti Pengurusan dan Muamalah, Universiti Islam Selangor (UIS).

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM

Media Baharu