SAUDARA PENGARANG
Sebelum berkahwin, ditanya bila hendak mendirikan rumah tangga. Setelah berkahwin, ditanya pula bila mahu menimang cahaya mata.
Namun, apabila masih belum dikurniakan anak, pertanyaan itu sering kali berubah menjadi sindiran yang menyakitkan, seolah-olah ia satu kegagalan.
Beginilah realiti masyarakat kita yang cenderung melihat perkahwinan sebagai satu perjalanan yang harus mengikut skrip tertentu, berkahwin, kemudian mempunyai anak, barulah dianggap sempurna.
Tetapi, benarkah kebahagiaan rumah tangga hanya diukur melalui kehadiran anak?
Pasangan yang belum dikurniakan anak sering berdepan dengan tekanan seolah-olah mereka telah gagal dalam perkahwinan, tanpa mengambil kira usaha dan doa yang telah mereka panjatkan.
Lebih membimbangkan, wanita sering menjadi sasaran utama kritikan. Masyarakat mudah menunding jari kepada mereka, sedangkan isu kesuburan bukanlah tanggungjawab wanita semata-mata, tetapi melibatkan kedua-dua pihak.
Hakikatnya, masalah kesuburan boleh berpunca daripada pelbagai faktor, termasuk kesihatan, genetik, gaya hidup, atau sekadar belum tiba rezekinya.Namun, stigma yang kuat menyebabkan ramai wanita hidup dalam tekanan dan ketakutan berpanjangan.
Ada yang sanggup menjalani rawatan kesuburan yang mahal dan menyakitkan, malah mencuba kaedah tradisional yang belum tentu keberkesanannya, hanya kerana takut dipandang serong oleh masyarakat, lebih-lebih lagi oleh keluarga sendiri.
Bukan itu sahaja, ada yang merasa rendah diri, terasing, serta kehilangan keyakinan untuk bersosial kerana sering dibandingkan dengan pasangan yang sudah mempunyai anak.
Lebih menyedihkan apabila tekanan dari pihak luar mengakibatkan perkahwinan retak, seolah-olah nilai seorang suami atau isteri hanya bergantung pada keupayaan mereka untuk memiliki zuriat.
Ada juga yang merasa diri tidak lagi berharga kerana gagal memenuhi ekspektasi masyarakat.
Dalam diam, mereka menangis, kecewa, dan merasa tidak cukup baik, hanya kerana norma yang terlalu menekankan bahawa perkahwinan hanya lengkap dengan kehadiran anak.
Masyarakat yang terus menerapkan naratif ini tanpa memahami realiti sebenar sebenarnya telah mewujudkan budaya yang menekan mereka yang berdepan dengan isu kesuburan.
Persoalannya, sampai bila kebahagiaan rumah tangga akan dinilai berdasarkan kehadiran anak? Masyarakat perlu sedar bahawa tidak semua pasangan berkahwin mampu mendapatkan anak dengan mudah.
Ada yang masih berusaha, ada yang sedang dalam proses menerima keadaan mereka, dan ada juga yang memilih untuk tidak memiliki anak.
Namun, tahukah kita bahawa soalan ringkas seperti “Bila nak ada anak?” mungkin kelihatan biasa, tetapi bagi mereka yang sedang berjuang, ia boleh menjadi luka yang mendalam.
Daripada menambahkan tekanan, lebih baik kita memupuk sifat empati terhadap isu ini agar lebih peka dan sensitif terhadap perasaan mereka yang menghadapinya.
Kesedaran tentang isu kesuburan juga perlu dipertingkatkan agar masyarakat lebih memahami cabaran yang dihadapi oleh pasangan yang mengalaminya.
Ini termasuk mengubah persepsi bahawa isu kesuburan bukan hanya tanggungjawab wanita, tetapi tanggungjawab bersama suami isteri secara adil dan seimbang.
Kesimpulannya, kehidupan tanpa anak bukanlah satu kegagalan. Sebaliknya, ia adalah satu bentuk kehidupan yang tetap boleh bahagia dan bermakna dengan caranya tersendiri, tanpa dibayangi persepsi negatif yang tidak berasas.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Prof. Madya Dr. Azmawaty Mohamad Nor
Timbalan Dekan Ijazah Dasar
Fakulti Pendidikan Universiti Malaya
Ahli Lembaga Kaunselor Malaysia
Siti Nurmaliya Zakaria
Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya