fb fb fb fb fb

Hargai jururawat, wira kesihatan negara

Foto hiasan/Arkib Bernama

SAUDARA PENGARANG

Dalam landskap kesihatan negara yang terus berkembang, peranan jururawat sebagai barisan hadapan semakin mendapat perhatian. Mereka bukan sahaja bertanggungjawab dalam memberikan penjagaan kepada pesakit, tetapi juga memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran sistem kesihatan negara.

Berdasarkan kajian saya bertajuk Factors Influencing Migration and Job Satisfaction amongst Malaysian Nurses Working in Other Countries, didapati bahawa jururawat Malaysia yang berkhidmat di luar negara mempunyai tahap kepuasan kerja lebih tinggi. Faktor utama, menyumbang kepada kepuasan ini adalah peluang untuk merawat pesakit yang memerlukan dan penghargaan terhadap sumbangan mereka.

Ini menunjukkan bahawa pengiktirafan serta penghormatan daripada pesakit, rakan sekerja, dan majikan memainkan peranan penting dalam kesejahteraan kerja jururawat. Pihak pengurusan dan majikan perlu memastikan jururawat mendapat kepuasan kerja yang sewajarnya, memandangkan pengorbanan serta dedikasi mereka tidak boleh dipandang ringan.

Sejak pandemik COVID-19, masyarakat semakin menyedari betapa pentingnya peranan jururawat dalam sistem kesihatan negara. Jururawat bekerja tanpa mengenal penat lelah, merawat pesakit yang dijangkiti, serta dalam masa yang sama menjaga keselamatan diri dan keluarga mereka.

Ramai dalam kalangan mereka sanggup mengorbankan masa bersama keluarga demi memenuhi tanggungjawab kepada negara. Peningkatan kes penyakit berjangkit dan tidak berjangkit seperti diabetes dan hipertensi menjadikan tugas jururawat semakin mencabar.

Selain memberikan rawatan asas, mereka juga bertindak sebagai pendidik, penyelidik, dan pemimpin dalam bidang kepakaran masing-masing. Peranan mereka dalam meningkatkan kesedaran kesihatan masyarakat tidak boleh dinafikan.

Pengalaman bertugas semasa gelombang COVID-19 merupakan satu cabaran besar. Jururawat sering berdepan dengan situasi getir, termasuk kehilangan pesakit di bawah jagaan mereka. Namun, mereka tetap melaksanakan tugas dengan penuh komitmen dan profesionalisme.

Di Malaysia, cabaran utama yang dihadapi jururawat adalah kekurangan tenaga kerja, yang memberi tekanan kepada sistem kesihatan negara. Statistik menunjukkan bahawa nisbah jururawat kepada pesakit di hospital kerajaan masih belum mencapai tahap ideal.

Dalam kebanyakan kes, jururawat terpaksa bekerja lebih 12 jam sehari bagi menampung kekurangan tenaga kerja dan memastikan pesakit menerima rawatan sewajarnya. Keadaan ini memberi kesan kepada kesihatan fizikal dan mental jururawat serta mempengaruhi kualiti perkhidmatan kesihatan secara keseluruhan.

Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencadangkan penambahan waktu kerja jururawat daripada 42 kepada 45 jam seminggu dengan alasan mereka diberikan rehat selama satu jam. Namun, realitinya, kebanyakan jururawat tidak dapat berehat sepenuhnya kerana beban kerja yang tinggi.

Mereka sering menggunakan masa rehat untuk menyelesaikan tugas tertangguh atau membantu rakan setugas, yang akhirnya meningkatkan tekanan kerja dan menjejaskan kesejahteraan mereka. Kekurangan tenaga kerja ini juga memberi impak kepada keseimbangan antara kehidupan dan pekerjaan jururawat.

Ramai jururawat menghadapi kesukaran untuk meluangkan masa bersama keluarga atau berehat secukupnya, yang boleh membawa kepada tekanan emosi dan masalah kesihatan mental.

Bagi menangani isu ini, kerajaan telah memperkenalkan beberapa langkah seperti meningkatkan pengambilan jururawat dan menyediakan program latihan lanjutan bagi meningkatkan kemahiran mereka. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengambil pelbagai inisiatif untuk meningkatkan kebajikan jururawat, termasuk kenaikan gaji, pemberian elaun tambahan, serta penambahbaikan persekitaran kerja.

Usaha berterusan ini penting bagi memperkukuh sektor kejururawatan di Malaysia, memastikan pertumbuhan lebih lestari dan mampan demi kesejahteraan sistem kesihatan negara.

Jururawat memainkan peranan penting dalam sistem penjagaan kesihatan, sama ada di hospital mahupun dalam komuniti. Dalam era digital, mereka perlu menyesuaikan diri dengan teknologi baharu dalam bidang perubatan seperti rekod kesihatan elektronik, aplikasi kesihatan mudah alih, dan teleperubatan. Oleh itu, mereka perlu sentiasa meningkatkan kemahiran dan pengetahuan bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan lebih efisien dan berkualiti.

Di sebalik segala cabaran yang dihadapi, jururawat tetap teguh menjalankan tugas mereka dengan penuh dedikasi. Mereka adalah wira kesihatan negara yang sering dilupakan, namun peranan mereka dalam menjaga kesihatan rakyat tidak boleh dipertikaikan.

Justeru, masyarakat seharusnya terus menghargai pengorbanan jururawat dengan memberikan sokongan dan penghormatan terhadap kerja keras mereka. Dengan dedikasi yang tidak pernah luntur, jururawat adalah penyuluh harapan dalam dunia perubatan, dan sumbangan mereka akan terus dikenang sepanjang zaman. Hargai jururawat, penyuluh harapan.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

PROF DR SOH KIM LAM
Prof. Dr. Soh Kim Lam
Jabatan Kejururawatan
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan
Universiti Putra Malaysia (UPM)
e-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

MAT YUNUS BIN SABRI