fb fb fb fb fb

IPT: Persediaan atau transit ke alam pekerjaan?

Foto hiasan

SAUDARA PENGARANG

Sudah hampir seminggu ke dua, sesi akademik di universiti awam atau swasta yang sama takwimnya bermula. Masih segar dalam ingatan telatah dan ragam terutama bagi pelajar yang memasuki tahun pertama di universiti dan memulakan kehidupan baharu dalam kampus.

Tidak kurang hebat juga, gelagat ibu bapa membuat persiapan lengkap untuk anak-anak dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.

Sudah pasti, ibu bapa sehabis baik menyediakan kelengkapan untuk anak-anak demi keselesaan mereka setiap kali menghadiri sesi pembelajaran. Ungkapan sering kali terpacul yang senantiasa meniti di bibir ibu bapa adalah "jaga diri". Konsep jaga diri ini amat besar ertinya.

Masih juga dalam ingatan, tibanya hari pertama sidang akademik dibuka, para pelajar disambut oleh wajah-wajah pendidik yang berjiwa besar. Para pendidik juga tidak terlepas mempersiapkan diri merencana pembelajaran dan pengajaran agar seiring dengan kemajuan teknologi.

Hal ini bagi memastikan pelajar dibekalkan ilmu sewajarnya untuk mendepani masa akan datang menuju Revolusi Industri 4.0 dan terkini Transformasi Sosial Menuju Revolusi Industri 5.0.

Selain itu, fasiliti kondusif seperti tempat dan bahan mengajar juga ditambah baik supaya sesi pembelajaran dan pengajaran dapat dilaksanakan tanpa gangguan di samping memberikan jaminan keselamatan.

Dalam hal ini semua pihak terlibat sememangnya menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan matlamat sama iaitu memastikan pelajar cukup bersedia menghadapi fasa pembelajaran dan fasa kehidupan seterusnya.

Namun, terdapat persoalan asas yang harus diajukan kepada para pelajar. Sejauh mana inisiatif pelajar itu sendiri membuat persediaan? Adakah sama hebat seperti persediaan yang dilakukan oleh ibu bapa mereka dan para pendidik? Ataupun masih ada lagi yang bersahaja? Pelbagai soalan boleh dilontarkan namun jawapannya hanya diri sendiri yang mengetahui. Tepuk dada tanyalah diri.

Melihat dari perspektif individu yang sudah menjalani fasa persekolahan, beralih ke fasa universiti dan kini berkecimpung dalam dunia korporat, terma "persediaan" adalah subjek utama yang perlu dititikberatkan oleh setiap yang bergelar pelajar.

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, persediaan membawa erti perbuatan menyediakan atau persiapan. Analoginya ialah diibarat seperti kita memasuki pertandingan memasak. Sebelum bertanding kita belajar memasak, mengulang kaji resepi masakan, mengenali bahan-bahan masakan dan berlatih memasak. Inilah yang dimaksudkan dengan persediaan. Menerusi persediaan itu, mental dan fizikial kita sudah cukup bersedia untuk bertanding.

Pelajar harus cakna bahawasanya persaingan amat sengit di luar sana. Jika hanya berbekalkan pencapaian akademik semata-mata, ia bukan lagi satu jaminan. Malah perlu diberi nilai tambah dengan penguasaan kemahiran insaniah. Jangan jadikan universiti tempat untuk transit selama beberapa tahun demi menggapai sekeping sijil yang melayakkan seseorang itu mendapat jawatan tinggi.

Jangan dipandang enteng bukan sahaja pembelajaran dalam kuliah malah pembelajaran di luar kuliah juga sebenarnya merupakan persediaan secara tidak langsung menjadikan pelajar sebagai seseorang yang ada kebolehpasaran apabila mereka menceburkan diri sebagai pemain industri kelak.

Seperti yang diperkatakan, dalam situasi hari ini tekanan kompetitif menyebabkan majikan mempunyai banyak pilihan untuk menawarkan peluang pekerjaan kepada sesiapa sahaja yang menepati kriteria diperlukan. Inisiatif untuk pembangunan kendiri melalui penguasaan kemahiran insaniah perlu digerakkan segera.

Kemahiran insaniah seperti kemahiran berkomunikasi merupakan kriteria utama yang dilihat oleh majikan. Ini kerana wujudnya keperluan organisasi untuk meluaskan pasaran tidak hanya terhad dalam negara malahan dikembangkan ke peringkat global. Proses ini berkehendakkan seseorang yang berkebolehan menguasai pelbagai bahasa dengan baik.

Umum mengetahui, Bahasa Inggeris adalah bahasa pengantara yang diguna pakai di seluruh dunia. Penguasaan bahasa yang komprehensif akan melancarkan proses komunikasi dua hala lantas memberikan impak positif kepada urusan perniagaan atau perusahaan yang melibatkan pelbagai negara.

Oleh itu, pelajar perlu memaksimumkan usaha menguasai Bahasa Inggeris atau apa sahaja bahasa yang moleh menjadikan mereka unik dan ada nila tambah. Hal ini kerana penguasaan bahasa lain sebagai bahasa ketiga adalah bonus yang boleh meningkatkan kebolehpasaran. Perlu diingatkan, penguasaan bahasa asing tidak bermakna kita mengetepikan bahasa ibunda iaitu Bahasa Malaysia.

Kini, seluruh dunia berada dalam fasa pemulihan ekonomi ekoran daripada ancaman wabak COVID-19; bukan sahaja mengancam nyawa manusia malahan meruntuhkan banyak institusi perniagaan. Kini keadaan semakin pulih menyaksikan banyak institusi perniagaan sedang giat merencana agenda pengukuhan ekonomi tatkala dunia dalam fasa pemulihan.

Oleh hal yang sedemikian, tenaga sumber manusia yang mempunyai kemahiran pengurusan projek amat diperlukan. Kemahiran itu boleh diasah melalui tugasan secara berkumpulan. Tugasan berkumpulan ini secara tidak langsung melatih pelajar dengan nilai kepimpinan dan pembahagian tugasan secara adil. Di samping itu, pelajar harus bijak membahagikan masa menyertai aktiviti luar kelas seperti berpersatuan. Percayalah melalui aktiviti tersebut banyak kemahiran pengurusan boleh ditimba.

Untuk tidak menjadi seperti kucing tidak bergigi, tikus berani melompat, maka pelajar dinasihatkan untuk mendalami erti kata peningkatan kemahiran (upskill) dan kemahiran semula (reskill). Peningkatan kemahiran adalah proses mempelajari ilmu bahau terhadap kemahiran sedia ada.

Sebagai contoh untuk peningkatan kemahiran, sebagai seorang eksekutif pemasaran kemahiran memasarkan sesuatu produk secara bersemuka perlu dipelbagaikan dengan mempelajari kaedah pemasaran yang lebih efektif iaitu melalui platform media sosial.

Manakala kemahiran semula adalah mempelajari ilmu baharu diluar ruang lingkup kemahiran sedia ada. Contoh, di samping menambah baik kemahiran pemasaran, kita disarankan untuk mempelajari kemahiran penulisan kreatif. Integrasi kedua-dua tersebut berupaya melahirkan individu yang berdaya saing seiring dengan pembangunan teknologi seterusnya menjadi aset berharga kepada majikan.

Secara tuntas, manfaatkanlah masa ketika berada dalam alam universiti. Pembelajaran ketika itu merupakan persediaan memenuhi impian untuk mendapatkan pekerjaan yang diidamkan.

Jangan jadikan universiti sebagai tempat transit sementara. Seorang pekerja juga merupakan anggota masyarakat maka jadilah masyarakat yang membantu pertumbuhan sosial ekonomi negara.

PENULIS NURSYAMSINAS AZRINA BADRULHISHAM merupakan Penolong Pengurus Amanjaya Holdings and Ventures Sdn Bhd dan DR MOHD YUSOF ZULKEFLI merupakan Pensyarah Pusat Pengajian Komunikasi dan Media, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media Universiti Teknologi MARA, Shah Alam.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Media Baharu