fb fb fb fb fb

PMX menoktahkan pemansuhan AUKU

Foto FB Anwar Ibrahim

SAUDARA PENGARANG

TIDAK perlu lagi menimbulkan isu pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad lalu mengumumkan akan berlaku pindaan atau pemansuhan beberapa seksyen dalam akta berkenaan yang masih menyekat kebebasan pelajar dan kebebasan ahli akademik.

AUKU akan kekal tetapi pindaan akan dibuat jika masih ada dalam Seksyen 15 atau Seksyen 16 yang masih menyekat kebebasan dan autonomi sebagai mahasiswa atau pensyarah.

Menjawab soalan seorang pelajar universiti awam dalam program dialog anak muda Temu Anwar di Kuala Lumpur Ahad lalu, Anwar mengakui AUKU menjadi akta yang komprehensif dalam hal ehwal pentadbiran, penubuhan sesebuah universiti termasuk pelantikan penjawat utama di universiti.

Orang yang paling mengenali dan memahami AUKU dan setiap pindaan yang dibuat pertama kalinya pada tahun 1975, tidak lain melainkan Anwar dan apabila beliau menyatakan tidak perlukan pemansuhan, bermakna isu sama ada perlu dimansuh atau hanya dipinda tidak lagi menjadi dilema.

Sejarah pergerakan pelajar sejak awal 70-an melalui demonstrasi Telok Gong, kemiskinan Baling, isu dasar negara prakonflik Mei 1969 hingga lahirnya Dasar Ekonomi Baru (DEB) antara pencetus kepada munculnya AUKU dan Anwar antara tokoh yang dikatakan penggerak kepada beberapa demonstrasi.

Inilah antara sebab mengapa Anwar sambil berseloroh menyebut, penggubalan dan pindaan AUKU dibuat ketika itu oleh Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyekat beliau memasuki universiti.

Tersirat dalam kata-kata itu adalah Anwar yang kini berkuasa sebagai Perdana Menteri boleh memansuhkan akta itu jika beliau mahu dengan mengarahkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk memansuhkannya.

Beliau tidak memilih langkah populis kerana beliau tahu ruang lingkup akta itu agak menyeluruh untuk menyediakan suasana kondusif bagi proses pengajaran dan pembelajaran peringkat tinggi di negara ini, maka pemansuhan akta akan memberi implikasi lain termasuk sumber kuasa penubuhan sesebuah universiti.

Anwar dan Mohamed Khaled telah mencapai kata sepakat untuk meminda akta berkenaan jika masih ada seksyen yang menyekat kebebasan mahasiswa dalam AUKU.

Jaminan mereka berdua ini sepatutnya boleh dimanfaatkan oleh aktivis mahasiswa untuk mengemukakan seksyen manakah lagi yang menyekat kebebasan.

Pakar Perlembagaan dan Perundangan, Prof Datuk Dr Shamrahayu A.Aziz dalam tulisannya di akhbar tempatan pada 10 Mac lalu menyebut, tujuan penggubalan AUKU pada dasarnya untuk memperkenalkan instrumen sah berkenaan penubuhan universiti dan mengesah hubungan antara kerajaan dan universiti.

Menurutnya, kerajaan mempunyai pilihan untuk memansuh atau meminda sahaja beberapa peraturan yang tidak sesuai.

Sebaik sahaja Perdana Menteri mengeluarkan ketetapan untuk tidak memansuh, dan pendapat ini selari dengan Menteri Pendidikan Tinggi, maka pilihan untuk memansuh sudah mencapai titik noktah.

Adakah perkara berkaitan tatacara pelantikan Canselor sesebuah universiti oleh Yang di-Pertuan Agong dalam AUKU perlu dipersoal dan dipinda? Begitu juga pelantikan Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor dimestikan melalui tapisan tertentu dan syarat-syarat ketat oleh Menteri Pendidikan Tinggi mahu dipinda?

Ada juga pendapat menyatakan Jabatan Hal Ehwal Pelajar perlu dihapuskan kerana kelahirannya bersumberkan AUKU, sedangkan Jabatan Hal Ehwal Pelajar ditubuhkan untuk membantu dan menyenangkan urusan pembelajaran dan membantu membentuk sahsiah serta kemahiran insaniah (soft-skill) yang tiada dalam bilik kuliah.

Sesungguhnya, tugas Jabatan Hal Ehwal Pelajar adalah membimbing mahasiswa untuk sentiasa bersikap rasional, berintelektual dan berprinsip.

Sebelum penubuhan kerajaan perpaduan pasca PRU-15, tidak sedikit aktivis dikenakan tindakan disiplin kerana dikatakan bertindak melawan kerajaan semasa menggunakan rotan AUKU, tetapi kini rotan AUKU untuk membantai aktivis mahasiswa sudah tiada, kecuali sesuatu yang melanggar undang-undang negara yang terpakai kepada semua warganegara seperti kesalahan menghasut atau memfitnah.

Justeru, aktivis mahasiswa kini boleh bereksperimen dalam ruang kebebasan seorang warga rasional untuk bertindak seperti mengadakan demonstrasi terhadap sesuatu isu, dan melihat tindak balas daripada pihak universiti atau kerajaan.

Yang sangat mahukan AUKU dimansuhkan selalunya aktivis mahasiswa dan Anwar mengingatkan kumpulan ini, seperti dilaporkan Malaysiakini pada 19 Mac lalu, dengan berkata: “(Mahasiswa) boleh jadi aktivis (perjuangkan hak mahasiswa) tetapi jangan jadi macai (atau) walaun. Saya hendak pastikan Kerajaan Perpaduan dengan warga Madani (tidak akan menyekat) sekiranya sesiapa ingin bercakap tentang perjuangan (mahasiswa).”

Untuk menyertai pertubuhan mana-mana parti politik sama ada sebelah kerajaan atau pembangkang atau bertanding dalam pilihan raya umum, sudah tidak menjadi masalah selepas pindaan terbaru AUKU pada tahun 2019.

Mohamed Khaled sendiri sudah memberi jaminan untuk meminda dan sedang meneliti perincian pindaan memandangkan ia melibatkan akta lain yang turut berkuat kuasa seperti Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555), Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) dan Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 (Akta 605).

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mohammad Yusof Apdal dalam Dewan Rakyat pada 16 Mac lalu, turut menjelaskan desakan untuk pemansuhan tidak akan bererti jika penggantian akta itu akan menggunapakai semula kebanyakan peruntukan sedia ada seperti di dalam AUKU.

Tindakan sedemikian menurut Mohammad Yusof, tidak ubah seperti sekadar menyalin kulit.

Sudah sampai masanya untuk semua pihak termasuk aktivis mahasiswa menoktahkan isu ini dan bergerak ke hadapan sekali gus memanfaatkan ruang kebebasan yang dijamin oleh Perdana Menteri yang sememangnya dekat dengan perjuangan dan aktivisme mahasiswa.

PENULIS PROF DR MOHD FO'AD SAKDAN ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Artikel berkaitan:
Masihkah AUKU ganggu mahasiswa?
AUKU masih relevan
KPM teliti pindaan Seksyen 15 AUKU, benar mahasiswa berpolitik

Media Baharu