fb fb fb fb fb

Gaji progresif atau gaji minimum?

Foto hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

Persoalan mengenai kecukupan gaji minimum RM1,500 menjadi topik yang semakin hangat dibincangkan. Adakah jumlah ini benar-benar mampu menampung kos sara hidup yang kian meningkat? Apakah ia mencukupi untuk membawa rakyat keluar daripada belenggu kemiskinan, atau sekadar menjadi angka minimum tanpa makna sebenar?

Isu ini bukan hanya soal angka, tetapi menyentuh aspek kehidupan sebenar seperti impian yang tertangguh, beban keluarga yang semakin berat dan tekanan mental yang menjerut jiwa.

Allah SWT berfirman dalam Al-Quran:
“Dan janganlah kamu membiarkan sebahagian di antara kamu memakan harta sebahagian yang lain dengan jalan yang batil...” (Surah Al-Baqarah, 2:188)

Ayat ini membawa peringatan tentang pentingnya keadilan dalam pembahagian kekayaan dan pendapatan, suatu prinsip yang relevan dalam perbincangan tentang penetapan gaji yang adil untuk pekerja.

Kos Sara Hidup yang Kian Meningkat

Setiap tahun, kos sara hidup terus melonjak akibat inflasi. Harga barang keperluan asas, perumahan, utiliti dan pengangkutan semakin meningkat. Bank Negara Malaysia melaporkan bahawa kadar inflasi pada 2023 meningkat sekitar 3.5%, dengan harga makanan mencatatkan kenaikan tertinggi.

Dalam situasi ini, adakah RM1,500 sebulan mencukupi untuk menampung keperluan harian seseorang, apatah lagi untuk menyara keluarga? Dengan harga sekilogram ayam yang mencecah lebih RM10 dan sewa rumah yang rata-rata RM800 sebulan, baki pendapatan untuk simpanan atau kecemasan amatlah terhad.

Gaji minimum yang ditetapkan bertujuan memastikan setiap pekerja mendapat pendapatan yang membolehkan mereka memenuhi keperluan asas. Namun, realitinya ramai pekerja yang hidup “kais pagi makan pagi, kais petang makan petang”. Situasi ini lebih membimbangkan apabila melibatkan keluarga besar, apabila tanggungjawab menyediakan pendidikan, kesihatan dan makanan yang mencukupi menjadi semakin sukar.

Perbandingan Kuasa Beli dengan Negara Lain

Malaysia menetapkan gaji minimum yang jauh lebih rendah dibandingkan dengan negara maju yang lain. Di Australia, gaji minimum mencecah AUD21 (sekitar RM67) sejam, manakala di Malaysia, kadar RM1,500 sebulan atau sekitar RM7.21 sejam adalah jauh lebih rendah. Walaupun kos sara hidup di kedua-dua negara adalah berbeza, jurang ini masih mencerminkan kelemahan dalam struktur ekonomi dan perlindungan hak pekerja di Malaysia.

Negara-negara maju juga mempunyai perlindungan sosial yang lebih kukuh, termasuk subsidi kesihatan dan pendidikan percuma, yang membantu meringankan beban rakyat. Sebaliknya, di Malaysia, pekerja terpaksa menguruskan perbelanjaan sendiri dengan gaji yang rendah, di samping berdepan kos perubatan dan pendidikan yang semakin tinggi.

Impian yang Terpaksa Ditangguh

RM1,500 adalah penghalang kepada kebebasan kewangan bagi generasi muda. Ramai golongan muda terpaksa menangguhkan hasrat berkahwin, membeli rumah atau melanjutkan pelajaran kerana gaji yang diterima tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan tersebut. Beban hutang pendidikan juga menambahkan tekanan kepada anak muda, yang mana ramai terjerat dalam kitaran hutang akibat ketidakcukupan gaji.

Seorang pekerja berusia 27 tahun, contohnya, yang tinggal di Kuala Lumpur dan menerima gaji minimum RM1,500, perlu membayar sewa bilik sebanyak RM600, kos makan minum RM500 dan kos pengangkutan RM200. Itu belum lagi termasuk bil utiliti dan perbelanjaan lain. Pada penghujung bulan, baki pendapatan mungkin hanya cukup untuk menampung keperluan asas, tanpa sebarang lebihan untuk simpanan atau kos ketika kecemasan.

Kesan Terhadap Kesihatan Mental

Tekanan hidup akibat gaji yang rendah memberi impak besar kepada kesihatan mental. Kajian menunjukkan bahawa ketidakcukupan pendapatan adalah antara punca utama stres dan kebimbangan dalam kalangan pekerja. Apabila keperluan asas tidak dapat dipenuhi, kesejahteraan emosi dan fizikal seseorang turut terjejas. Ini dapat dilihat daripada peningkatan kes kemurungan dan kebimbangan yang dilaporkan.

Keadilan sosial menuntut agar pekerja dihargai dengan gaji yang setimpal dengan sumbangan mereka. Gaji yang mencukupi bukan sekadar soal wang, tetapi juga soal maruah dan kesejahteraan hidup. Apabila pekerja merasakan usaha mereka dihargai, mereka lebih cenderung untuk bekerja dengan lebih produktif dan memberikan sumbangan yang lebih besar kepada ekonomi.

Langkah Menuju Keseimbangan

Dalam usaha untuk mengatasi cabaran ini, beberapa langkah perlu dipertimbangkan. Antaranya adalah pelaksanaan gaji progresif, subsidi bersasar serta pengurangan kos pendidikan.

Pelaksanaan gaji progresif merupakan langkah penting untuk memastikan pendapatan rakyat seiring dengan peningkatan kos sara hidup dan produktiviti ekonomi. Melalui mekanisme ini, majikan perlu menyelaraskan kenaikan gaji pekerja berdasarkan prestasi kerja dan perubahan dalam kos sara hidup.

Langkah ini bukan sahaja meningkatkan kuasa beli rakyat tetapi juga menggalakkan motivasi dalam kalangan pekerja untuk meningkatkan produktiviti mereka. Pada masa yang sama, gaji progresif dapat mengurangkan jurang pendapatan antara golongan berpendapatan rendah dan tinggi, seterusnya menyumbang kepada keadilan sosial.

Subsidi bersasar memainkan peranan penting dalam meringankan beban kewangan kumpulan berpendapatan rendah. Pendekatan ini memastikan hanya mereka yang benar-benar memerlukan menerima bantuan kewangan seperti subsidi makanan, elektrik dan bahan api.

Dengan memperkenalkan sistem pendaftaran dan penilaian yang telus, kerajaan dapat mengelakkan pembaziran sumber dan memastikan dana awam digunakan dengan berkesan. Langkah ini bukan sahaja mengurangkan tekanan kos hidup kepada golongan rentan tetapi juga memberi ruang kepada mereka untuk menumpukan perhatian kepada usaha meningkatkan taraf hidup.

Pengurangan kos pendidikan adalah langkah strategik untuk memastikan rakyat dapat mengakses perkhidmatan asas ini tanpa membebankan kewangan mereka. Program biasiswa atau pembiayaan pendidikan boleh ubah perlu diperbanyakkan di samping bantuan komputer peribadi kepada pelajar terutamanya pelajar di institusi penhajian tinggi disediakan kepada kumpulan sasaran.

Menerusi langkah ini, rakyat memperoleh peluang pendidikan yang lebih baik dan keadaan ini berupaya menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup secara keseluruhan. Dengan pelaksanaan yang efektif, ia dapat membina masyarakat yang lebih sejahtera dan mampan.

Kesimpulan

Gaji minimum RM1,500 adalah suatu permulaan, tetapi ia masih belum mencukupi dalam menghadapi realiti kos sara hidup yang semakin meningkat. Penambahbaikan dasar perlu dilakukan untuk memastikan keseimbangan antara pendapatan dan perbelanjaan rakyat.

Kehidupan yang bermaruah dan bebas daripada beban kemiskinan adalah hak setiap pekerja. Keadilan ekonomi dan kesejahteraan sosial hanya dapat dicapai apabila gaji minimum benar-benar mencerminkan keperluan hidup sebenar.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

NURZA MOHAMED YUSOFF
Nurza Mohamed Yusoff
Pensyarah Jabatan Ekonomi dan Kewangan
Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan
Universiti Islam Selangor.

DR NORZIAH OTHMAN
Dr. Norziah Othman
Pensyarah Kanan Jabatan Sains Kuantitatif
Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan
Universiti Islam Selangor.

MAT YUNUS BIN SABRI