SAUDARA PENGARANG
Generasi muda Malaysia kini lebih memilih platform digital seperti TikTok, Facebook, Instagram, dan YouTube; meninggalkan televisyen dan radio di persimpangan perubahan. Teknologi telah mengubah cara masyarakat mengakses maklumat dan hiburan, menjadikan kandungan yang ringkas dan interaktif lebih digemari.
Televisyen dan radio bukan sahaja beransur-ansur ‘hilang’ makna fizikalnya, malah kandungannya menjadi kekeliruan generasi muda yang sinonim sebagai generasi digital dan terdedah dengan kepelbagaian platform media.
Transformasi Akses Media Dalam Era Digital
Statistik Digital 2024: Malaysia; melaporkan terdapat 85.4% daripada pengguna internet di Malaysia menggunakan sekurang-kurangnya satu platform media sosial. Ini bersamaan dengan 28.68 juta pengguna iaitu 99.3% mengakses media meggunakan telifon bimbit. Angka-angka ini memberi pelbagai maksud yang mendalam terhadap penggunaan media sosial di negara ini.
Perkembangan ini merevolusikan persembahan kandungan media kepada format baharu. Contohnya, berita televisyen berdurasi sejam kini disesuaikan menjadi klip pendek satu hingga tiga minit untuk platform seperti TikTok atau Facebook.
Bagi media konvensional seperti televisyen dan radio, transformasi dituntut kepada pengurusan strategik dan inovasi untuk memastikan ia kekal relevan dalam era digital. Strategi perlu dikemas kini untuk bersaing dengan media digital yang kian dominan, dalam masa sama memastikan kualiti dan kadar tontonan tinggi demi survival organisasi media.
Ini seperti yang dinyatakan oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil pada program HAWANA 2024, yang memberi gambaran jelas bahawa; "tekanan perubahan ini, jika tidak diurus dengan baik, boleh membawa kesan negatif".
Kelebihan dan Peluang Media Multiplatform
Media multiplatform memainkan peranan penting dalam era digital, menawarkan pelbagai kelebihan yang memberi impak positif kepada masyarakat dan ekonomi.
Kelebihan pertama adalah ia mengurangkan jurang digital dengan membolehkan akses maklumat kepada semua lapisan masyarakat, tanpa mengira usia atau lokasi. Platform seperti YouTube, Facebook dan TikTok membantu memperluaskan capaian maklumat kepada golongan yang sebelumnya sukar mendapatkannya.
Kedua, media multiplatform meningkatkan kesedaran sosial dengan membolehkan masyarakat memahami isu-isu tempatan dan global secara lebih mendalam. Platform seperti Twitter dan Instagram memainkan peranan penting dalam menyebarkan maklumat mengenai isu-isu seperti perubahan iklim, kesihatan mental, dan hak asasi manusia, serta meningkatkan kepedulian terhadap topik tersebut.
Ketiga, media ini menawarkan pengalaman interaktif yang lebih menarik dengan menggunakan teknologi seperti video pendek, audio, dan infografik. Platform seperti TikTok memberikan pengalaman yang lebih mendalam, membolehkan pengguna berinteraksi secara langsung dengan kandungan yang ditonton, menjadikannya lebih dinamik dan mesra pengguna, terutamanya bagi generasi muda.
Keempat, media multiplatform menyediakan pengagihan maklumat yang meluas dengan menyesuaikan kandungan untuk pelbagai platform. Ini meningkatkan capaian kandungan kepada khalayak digital yang lebih besar, termasuk generasi muda, kebanyakan mereka lebih gemar kandungan ringkas dan mudah diakses.
Ia sekali gus memberi peluang kepada program bersifat pendidikan atau berita untuk menarik perhatian lebih banyak penonton. Malah media multiplatform membuka peluang ekonomi lebih besar dalam industri media dan membantu memperkaya ekonomi digital negara.
Secara keseluruhan, media multiplatform membawa kelebihan besar dalam mengakses maklumat, meningkatkan kesedaran sosial, dan menawarkan peluang ekonomi. Dengan memanfaatkan kelebihan ini, masyarakat dapat menikmati pengalaman yang lebih efisien, informatif, dan memberi impak dalam dunia digital yang terus berkembang.
Peranan Keluarga dan Pendidikan
Dalam era digital, media multiplatform menawarkan peluang komunikasi dan pembelajaran, tetapi juga membawa risiko jika digunakan tanpa kawalan. Oleh itu, keluarga dan pendidikan memainkan peranan penting dalam memastikan penggunaan media yang bertanggungjawab.
Oleh kerana inilah salah satu konsep yang semakin mendapat perhatian ialah keibubapaan digital. Konsep ini merujuk kepada usaha ibu bapa untuk mendidik anak-anak mereka tentang pentingnya memilih kandungan berkualiti dan memahami risiko berkaitan dengan penggunaan media.
Peranan keluarga juga penting dalam memupuk tabiat penggunaan media yang sihat. Ibu bapa perlu menetapkan garis panduan mengenai waktu skrin dan kandungan sesuai, serta berbincang dengan anak-anak mengenai kandungan yang mereka temui.
Ini penting kerana ibu bapa perlu mendidik anak-anak untuk memilih kandungan berkualiti dan memahami risiko penggunaan media, seperti ketagihan atau mengakses kandungan tidak sesuai. Pendidikan literasi digital ini penting dalam membentuk generasi muda yang bijak menggunakan media.
Selain itu, penerapan tentang etika digital perlu diterapkan melalui aktiviti ko-kurikulum atau seminar yang melibatkan ibu bapa dan pelajar. Kurikulum sekolah perlu mengajar pelajar menilai maklumat secara kritikal dan mengenali sumber yang sahih, serta menghindari berita palsu.
Ini dapat meningkatkan kesedaran mengenai kesan negatif penggunaan media tanpa kawalan, seperti buli siber dan pendedahan kepada kandungan berbahaya.
Secara keseluruhan, kerjasama antara keluarga dan institusi pendidikan diperlukan untuk memastikan generasi muda mahir menggunakan media dengan bijak dan bertanggungjawab dalam dunia digital yang berkembang pesat.
Cabaran Masa Depan Industri Media di Malaysia
Mencermati landskap baharu dalam industri media, penulis memahami cabaran dan media dalam memberi perhatian kepada kehendak generasi muda, yang cenderung kepada kandungan ringkas dan interaktif.
Usaha menemui khalayak digital Ini mampu dilakukan dengan menyesuaikan kandungan dengan cita rasa pengguna muda yang akan memperkukuh institusi media konvensional dalam menghadapi persaingan yang sengit.
Dalam masa yang sama kempen peningkatan literasi digital juga penting dalam memastikan masyarakat menggunakan media dengan cara yang kritikal dan bertanggungjawab. Usaha-usaha pihak media turun padang ke institusi-institusi pendidikan atau menyertai program-program komuniti dan usaha sama yang pelbagai sangat tepat pada masanya.
Kerjasama antara industri media, ibu bapa dan institusi pendidikan diperlukan untuk mendidik generasi muda mengenai cara menilai maklumat dengan bijak. Ini akan membantu mereka menghindari berita palsu dan menghargai peranan media dalam membentuk pandangan mereka.
Dengan strategi yang betul, Malaysia dapat memanfaatkan potensi media digital untuk kesejahteraan masyarakat dan pembangunan negara, sekali gus memastikan industri media tetap relevan dalam era digital.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Rahmahtunnisah Sailin
Pensyarah Komunikasi dan Penyiaran
Fakulti Sains Sosial.
E-mel:
Dr Md Rozalafri Johori
Pensyarah Kanan Komunikasi dan Penyiaran
Fakulti Sains Sosial
E-mel: