(Foto fail Bernama)
SAUDARA PENGARANG
Tinggal beberapa hari sahaja lagi, seluruh umat Islam di dunia akan menyambut bulan Ramadan yang penuh kemuliaan. Bulan Ramadan atau sinonim dalam kalangan rakyat Malaysia sebagai bulan puasa amat dinanti-nantikan.
Mana tidaknya, pada bulan inilah setiap umat Islam akan berlumba-lumba untuk membersihkan diri dan menyucikan jiwa. Pada bulan puasa ini juga umat Islam digalak untuk melipatgandakan amal kebaikan. Ini kerana pada bulan yang mulia ini Allah SWT membuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka. Selain pengampunan dosa, Allah SWT juga dengan penuh kasih dan sayang menyediakan bonus pahala berlipat kali ganda khusus pada bulan Ramadan yang penuh istimewa.
Sambutan bulan Ramadan terutamanya di Malaysia bukan sahaja dinantikan oleh umat Islam, bahkan masyarakat bukan beragama Islam juga tidak sabar untuk turut serta. Oleh kerana ada rakan-rakan atau sahabat handai yang beragama Islam sedang berpuasa, maka ada juga yang bukan Islam bersama-sama dengan rakan taulan mereka yang beragama Islam turut mengambil peluang merasai nikmat berpuasa.
Ada juga masyarakat yang bukan Islam mengambil peluang ini (berpuasa) untuk mengamalkan gaya hidup sihat. Selain itu, pelbagai juadah yang jarang-jarang dijamah bakal tersedia di bazar Ramadan seperti kuih nekbat, sagumpal, cek mek, kuih buah tanjong dan pelbagai lagi membuatkan keghairahan mereka untuk turut serta menyambut kedatangan Ramadan menjadi lebih meriah. Oleh itu, tidak terkejut jika kelihatan pelbagai jenis bangsa yang mengunjungi bazar Ramadan. Inilah salah satu nikmat keharmonian di Malaysia. Malah ia juga dituntut dalam Islam untuk berbaik-baik walaupun berbeza bangsa dan agama.
(Foto Hiasan)
Tahun 2020 memperlihatkan Ramadan disambut seadanya dengan penuh hikmah kerana seluruh dunia pada ketika itu dilanda virus COVID-19 yang menjadi musuh nombor satu. Pada ketika itu, tiada bazar atau sebarang penjualan secara terbuka dibenarkan. Tahun ini, sekali lagi dengan kebenaran kerajaan, para peniaga diberi peluang untuk berniaga di bazar Ramadan. Walaubagaimanapun, seluruh masyarakat dituntut untuk menjaga keselamatan diri sewajarnya. Jika diamati, segala yang berlaku ini adalah didikan oleh Allah untuk kita semua bersyukur kepadanya.
Selain bersyukur, kita juga dituntut untuk mengawal nafsu. Mengawal nafsu bukan hanya sekadar mengawal diri daripada nafsu syahwat atau melakukan maksiat. Tetapi kita juga dituntut untuk mengawal nafsu dari aspek lain yang membawa kepada kemudaratan serta amalan yang disukai oleh syaitan.
Oleh kerana terlalu taksub dengan budaya "menunjuk" di media sosial, ada antara kita yang akan membeli belah pada kadar berlebihan. Contohnya, membeli lima juadah, namun sayang seribu kali sayang, yang dijamah tidak sampai satu juadah. Malang sekali, juadah-juadah itu disusun rapi pada pinggan mangkuk yang cantik dan setelah beberapa foto diambil dan dimuat naik, kesemua juadah itu tidak lagi terusik. Akhirnya makanan itu akan dihumban ke dalam tong sampah.
Sikap menunjuk-nunjuk ini tidak boleh dibiarkan. Sikap seperti ini perlu dibasmi. Ia tidak mendatangkan keuntungan, jauh sekali membawa kebaikan. Budaya seperti ini sebenarnya akan membuatkan masyarakat kita akan lebih sakit rohaninya kerana masing-masing taksub untuk mempamerkan siapa lebih hebat. Ini adalah sesuatu yang jauh daripada tuntutan agama bahkan tidak langsung mempamerkan nilai-nilai murni yang boleh diteladani.
Dimanakah hilangnya nikmat syukur itu? Dinamakah terbangnya erti mengawal nafsu? Bukankah kita dituntut besederhana? Ke mana pergi pengertian-pengertian itu?
Bersikap jujur juga adalah amanah dari Allah kepada kita. Sikap tamak untuk mengaut keuntungan atas angin perlu dielakkan. Janganlah menganiaya pembeli. Para peniaga terutamanya peniaga makanan mahupun minuman perlu jujur dan amanah. Jadikan bulan Ramadan ini sebagai wadah untuk bersedekah dan bukannya menipu demi mengecap kekayaan yang tidak diberkati.
Masaklah sebagaimana anda mahu menikmati kelazatan makanan itu. Jangan dijual makanan yang telah basi. Jangan disaji makanan yang tidak boleh dinikmati. Contohnya, jangan dijual karipap angin, nasi yang tidak habis semalam tetapi dipanaskan untuk dijual pada hari berikutnya. Ini adalah satu perkara yang tidak adil, jujur dan amanah. Tunjukkan belas ihsan. Bersedekahlah kerana ianya tidak merugikan. Daripada dihumban kedalam tong sampah, adalah lebih baik rezeki itu dikongsi bersama.
Tidak kira sama ada pembeli atau peniaga, harus kita fahami bahawasanya kita membeli bukan untuk tong sampah. Beli pada kadar sepatutnya. Berniaga dengan ikhlas dan tulus dan. Harus kita ingat, bulan Ramadan bukan bulan untuk mempamerkan kemewahan atau siapa lagi popular, tetapi bulan Ramadan adalah bulan untuk meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT. Gunakanlah kesempatan yang ada untuk menikmati bulan yang mulia ini dengan membuktikan ketaatan kita kepada Allah SWT, melatih diri untuk lebih berdisiplin dan mengasah diri untuk lebih sabar.
PENULIS DR MOHD YUSOF ZULKEFLI merupakan Pensyarah Jabatan Komunikasi Liberal, Pusat Pengajian Komunikasi dan Media Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media Universiti Teknologi MARA.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.