fb fb fb fb fb

Perluas ruang pandang dan fikir mahasiswa

Foto hiasan

SAUDARA PENGARANG

Tempoh 14 minggu pengajaran dan pembelajaran dalam sistem pengajian di kolej dan universiti, pastinya telah difahami jelas oleh mahasiswa.

Dalam tempoh berkenaan, takwim akademik lazimnya akan dibahagikan pula dengan cuti pertengahan semester. Diikuti pula dengan minggu pembelajaran selama seminggu dan peperiksaan akhir yang mungkin mengambil masa antara dua hingga tiga minggu.

Tempoh 14 minggu itu akan menyaksikan fasa ‘bulan madu’, fasa tenang, fasa sibuk, fasa tekanan dan kemurungan dalam pelbagai sisi berbeza mahasiswa.

Fasa sibuk dengan tugasan, projek lapangan, pembentangan mahupun ujian pelbagai kursus yang diikuti, menjadikan pelajar lebih peka kepada tarikh akhir atau 'deadline' atau pematuhan terhadap tarikh-tarikh utama.

Ia turut menjadi penanda aras kepada komitmen, displin dan keupayaan mengurus masa individu. Selain semangat kerjasama dan kepimpinan atau kepengikutan dalam kumpulan ketika menjalankan tugas.

Minggu-minggu akhir perkuliahan, adalah antara tempoh puncak kesibukan.

Bukan sahaja dalam kalangan mahasiswa, malah pensyarah juga memerlukan tumpuan masa membimbing projek akhir, menyemak tugasan dan memberikan penilaian berterusan.

Dalam masa sama masih perlu menyelesaikan sesi pengajaran dan pembelajaran, aktiviti penyelidikan dan penulisan, disamping dokumentasi pelbagai dokumen berkaitan pengajaran dan pembelajaran.

(Foto hiasan)

PROGRAM MENTORING MEREDAKAN TEKANAN DAN KEMURUNGAN

Program Mentoring melibatkan mentor (pensyarah) dan menti (mahasiswa) di Universiti Islam Selangor (UIS) yang telah diperkenalkan sejak 16 tahun lalu, terus diperkasakan bagi membantu pelajar menghadapi pelbagai suasana kampus.

Matlamat utama diadakan aktiviti Mentoring itu adalah untuk mewujudkan saluran perhubungan bagi membolehkan menti merujuk sebarang masalah khususnya dalam hal pencapaian akademik, pembentukan sahsiah serta pemilihan kerjaya.

Namun, ia tidak terikat dengan perbincangan secara formal, malah boleh dilaksanakan dengan pelbagai kaedah yang difikirkan wajar oleh mentor.

Menyedari bahawa pelajar memerlukan satu sistem sokongan tidak formal dan perlu ‘didekati’ dengan cara yang lebih berhemah, Unit Rundingcara dan Kerjaya (URK),, bawah seliaan Bahagian Hal Ehwal Pelajar, memberikan ruang dan kepercayaan kepada mentor yang dilantik; seumpama keluarga angkat bagi menyantuni sekumpulan menti yang telah diagih-agihkan mengikut jumlah pelajar dalam setiap fakulti di UIS.

Aktiviti separa ilmiah seperti program-porgram motivasi, ‘Quran Hours’ dan pelbagai program anjuran fakulti dan universiti turut diambil kira sebagai merit program mentoring.

Aktiviti riadah pula seperti berkayak, kembara (hiking), larian (fun-run), bowling dan ‘makan-makan’ barbeque bersama adalah antara yang sering dijalankan dan mendapat sambutan baik.

Walaupun kelihatan seperti aktiviti biasa, namun sesi itu membuka ruang berkongsi emosi, bertukar idea, menghargai rakan, yakin diri dan pembentukan sahsiah yang baik dapat dibina secara langsung.

Kemeriahan pelbagai aktiviti mentoring itu juga menghidupkan kembali suasana meriah dalam kampus selepas dua tahun kebanyakan aktiviti pelajar dan persatuan turut dijalankan secara dalam talian.

LUASKAN RUANG PANDANG DAN FIKIR

Bagi kebanyakan mentor di Fakulti Pengurusan dan Muamalah, UIS, aktiviti mentoring juga dijalankan secara berkelompok.

Suasana ini menambah rasa kebersamaan dan meluaskan jaringan kerjasama mentor dan menti.

Berinteraksi dengan rakan menti yang berbeza program pengajian turut membolehkan ruang pandang dan fikir mereka secara lebih interaktif.

Baru-baru ini misalnya, gabungan lima orang mentor telah membawa 35 orang menti meneroka suasana di Dusun Suku Abad di Shah Alam, Selangor.

Kumpulan menti ini telah didedahkan dengan tiga modul yang dirancang meliputi modul membakar lemang, memancing dan memanah.

Menti ‘dibawa lari’ seketika dari memikirkan urusan akademik dan meninggalkan sementara pelbagai tugasan ilmiah.

Survival hidup yang asas, mendedahkan menti dengan pelbagai cara hidup di kampung untuk mendapatkan bekalan makanan.

Bermula dengan mencari buluh untuk memancing, mendapatkan cacing sebagai umpan sebelum teknik yang betul memancing ikan kolam ditunjuk ajar.

Menti turut diberikan peluang menebang dan memotong buloh yang sesuai untuk membuat lemang. Malah proses membersih buloh, mengait kelapa, mengkukur kelapa dan memerah santan secara tradisional turut dilaksanakan secara praktikal.

Sudah pasti ini suatu pengalaman yang tidak semua pelajar universiti dapat lalui kerana lokasi dan latar belakang hidup yang berbeza.

Selain menyeronokkan, aktiviti seumpama itu membolehkan pelajar merenung dan berfikir solusi jika keadaan hidup perlu berubah kesan suasana ekonomi yang kurang menentu.

Survival hidup tetap perlu diteruskan. Kemahiran menjalani hidup yang asas, membolehkan proses muhasabah diri berlaku secara langsung.

(Foto hiasan)

Mencerna akal fikir, mengakui dan mensyukuri nikmat hidup, rezeki daripada Allah SWT.

Ketika inilah juga proses komunikasi dengan Allah, alam dan manusia terpampang jelas, berlaku nyata dalam kehidupan harian.

Peranan mentor dalam menyantuni menti yang telah diamanahkan sangat penting dan memerlukan pendekatan yang berhemah.

Melalui sistem itu juga akan membantu menti menghindari perasaan tertekan atau resah gelisah dengan pelbagai tugasan dan peperiksaan akhir yang bakal dilalui.

Perspektif umum tentang kehidupan di kampus juga boleh digambarkan dengan lebih baik.

Kehidupan mahasiswa sebenarnya perlu disulami dengan pelbagai aktiviti yang menyenangkan, malah bermanfaat untuk fasa hidup yang seterusnya.

Mahasiswa tidak sekadar dididik dengan pelbagai kursus yang terkongkong dalam persekitaran dewan kuliah dan tutorial semata-mata.

Bukan hanya memberikan tumpuan untuk skor kecemerlangan akademik yang bakal tertera dalam transkrip dan sijil semata-mata.

Apatah lagi menjadi ‘ulat buku’ yang menafikan keperluan bersosial dan menyerlahkan potensi diri.

Mungkin inilah gambaran kurang tepat yang menjadi kebimbangan terhadap lepasan SPM yang kononnya tidak berminat untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Hakikatnya, gabungan kebijaksanaan dalam sesuatu bidang ilmu perlu disertai dengan kemahiran khusus, kemahiran bersosial yang baik, ketrampilan diri yang menyenangkan dan kecekapan menjalankan tugas akan menjadi kriteria utama pemilihan modal insan dalam pelbagai industri dalam alam pekerjaan.

PENULIS RAHMAHTUNNISAH SAILIN merupakan Mentor/Pensyarah Jabatan Bahasa Inggeris dan Komunikasi, Fakulti Pengurusan dan Muamalah, Universiti Islam Selangor (UIS).

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Media Baharu