SAUDARA PENGARANG
Radio dan Perdamaian.
Tema yang ringkas, namun cukup kuat untuk meyakinkan bahawa radio sememangnya medium paling tepat untuk mengangkat agenda perdamaian nasional dan antarabangsa.
Ternyata ia kesinambungan yang baik dan jelas dengan tema Hari Radio Sedunia pada tahun lalu iaitu ‘Radio dan Keyakinan’.
Tanggal 13 Februari setiap tahun menjadi kebanggaan buat semua stesen radio dan seluruh warga kerjanya sebagai apresiasi peranan radio melalui pengiktirafan UNESCO dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bermula tahun 2012.
Ketika media sosial menjadi paling akrab dengan majoriti khalayak umum dalam era semasa, dengan dipenuhi pelbagai kandungan yang mempromosikan buruk sangka, kebencian, adu domba, hingga membawa kemudaratan terhadap institusi keluarga, agama, masyarakat malah negara.
Maka peranan radio sebagai medium yang berkredibiliti tidak wajar terbawa-bawa dengan kandungan media sosial yang bersifat 'kebudak-budakan', mempamerkan emosi peribadi dan kurang rasional atas dasar akaun milik peribadi yang tiada penapisan kendiri yang teliti dan berkredibiliti.
Namun tidak juga dinafikan media sosial menjadi medium dan alternatif terbaik untuk membanyakkan saluran maklumat melalui ‘live’ perbincangan ilmiah para ahli akdemik, agamawan dan ruang niaga yang interaktif dan menghiburkan apabila ia disertai dengan tanggungjawab dan kefahaman etika yang jelas.
KUASA DAN DINAMIKA RADIO
Radio, medium terawal di Malaysia kekal berpengaruh dan dinamik.
Ketika akhbar dan majalah melalui fasa merudum sejak 10 tahun ke belakangan ini, radio terus mendominasi perhatian khalayak pendengar.
Bukan sekadar menjadi teman perjalanan yang menghibur dan menyampaikan maklumat ketika pemanduan dengan penyampaian bersahaja, malah peranan radio kini menjadi lebih besar dan diyakini sebagai medium periklanan, perniagaan dan penjenamaan institusi korporat dan paling utama membawa dasar dan agenda kerajaan.
Laporan terkini oleh GfK Radio Audience Measurement Survey Radio (RAM) yang diterbitkan pada November 2022 menunjukkan bahawa aras tertinggi untuk pendengar radio Malaysia mencapai seramai 97.2% individu di Semenanjung Malaysia bagi tahun 2022.
Ia bersamaan dengan 21.6 juta pendengar secara mingguan.
Jumlah ini menunjukkan terdapat peningkatan pendengar yang luar biasa iaitu sebanyak 300,000 orang pendengar berbanding kajian tinjauan sama pada tahun sebelumnya.
Potensi ini sangat signifikan berkenaan pengaruh dan peranan radio yang besar ini.
Apatah lagi dengan kejayaan Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyempurnakan proses pendigitalan semua 35 stesen milik RTM pada tahun 2019.
Dengan RTM Klik, kini para pendengar tidak perlu bergantung kepada frekuensi, apatah lagi lokasi tertentu bagi mendapatkan siaran.
Malah, sejak ditemukan pada tahun 1895, radio telah menjadi medium yang mampu bersiaran ke seluruh dunia.
Maka tidak hairanlah mengapa Penjajah Komunis dahulunya akan merampas radio dari rumah setiap penduduk kampung dan bandar.
Mereka sangat bimbang maklumat dari kerajaan Tanah Melayu sampai kepada penduduk ketika itu.
Namun dari saat itu, sebenarnya kuasa radio telah membuka mata dan telinga banyak pihak.
Bermula sebagai agen anti komunis dan penjajah dengan maklumat daripada kerajaan kepada rakyat hinggalah membawa kepada kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957.
Sehingga kini dinamika radio kian pesat dan berperanan penting dalam usaha mempromosikan perdamaian dan toleransi antarabangsa.
(Foto hiasan)
RADIO SEBAGAI MEDIUM PERDAMAIAN
Keupayaan radio sebagai medium perdamaian dan toleransi kepada pendengar dari pelbagai latar belakang, agama dan budaya tidak dapat dinafikan.
Selari dengan matlamat utama Kerajaan Perpaduan Malaysia yang mula dibentuk pada tahun lalu untuk mempromosikan malah bersungguh-sungguh mahukan perpaduan dan perdamaian menjadi teras agenda nasional dan antarabangsa.
Pesanan khidmat masyarakat (PSA), kapsul, majalah radio, dokumentari, laporan khas dan pelbagai siri wacana ilmiah melalui bual bicara yang berkumandang adalah antara pengisian terbaik radio yang boleh dimanfaatkan oleh semua stesen radio tempatan.
Penyampaian yang ringkas, objektif dan berkesan, pastinya dapat memberi impak kepada pendengar.
Perkembangan pelbagai isu dalam dan luar negara melalui berita dan laporan khas dan perkongsian penyampai atau 'Dj talk' juga membolehkan maklumat yang objektif dan adil mengenai isu-isu sosial dan politik, membantu untuk menghapuskan prasangka dan kebimbangan yang mungkin wujud.
Contoh semasa yang paling tular susulan provokasi melalui media sosial.
Semarak kemarahan umat Islam di seluruh negara menjadi tular angkara seorang pemimpin Britain bertindak membakar senaskah al-Quran.
Ciri media sosial yang pantas, bersifat perkongsian pendek berserta gambar atau video yang disertai dengan emosi individu dengan mudah untuk dikongsi, komen tanpa batas juga 'like', menjadikan isu ini hangat dan tranding.
Pengumuman rasional Perdana Menteri Malaysia ke-10, Yang Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memperuntukan percetakan 1 juta naskah al-Quran untuk edaran ke seluruh dunia sebagai reaksi balas terhadap isu berkenaan dilaporkan dengan pantas dan berulang kali.
Maka akhirnya, melalui media arus perdana yang bertindak bijak, termasuklah radio yang kemudiannya berjaya memadamkan api kemarahan, kebimbangan dan keresahan umat Islam di Malaysia khususnya.
Inilah teladan bagaimana untuk menyebarkan perdamaian dengan penuh hikmah.
Mendinginkan kemarahan dengan menunjukkan kemurnian Islam, bukanlah bermaksud tidak memperjuangkan al-Quran sebagai kitab suci Islam.
Kini dengan mempunyai 35 stesen radio RTM dan sekitar 43 saluran radio swasta berbilang bahasa, rakyat Malaysia sebenarnya kaya dengan pilihan saluran maklumat dan hiburan.
Malah radio memainkan peranan penting dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat dengan menyebarkan informasi, pengetahuan, hiburan, dan mempromosikan bahasa, budaya, toleransi dan pemahaman antara agama dan bangsa.
Tanggungjawab ini merupakan teras kepada kedamaian masyarakat dan negara.
Apatah lagi dengan hasrat Kerajaan Perpaduan yang mahukan keamanan dan perdamaian antara berbilang kaum dan agama.
Pada peringkat antarabangsa dalam situasi ekonomi dan politik semasa, fungsi radio perlu berubah mengikut perkembangan dunia.
Ketika situasi dunia semakin mencabar ekoran peperangan besar antara Rusia dengan Ukraine yang memberi impak kepada kemelesetan ekonomi dunia serta ketidakseimbangan politik antarabangsa, radio perlu menjalankan peranan sebagai agen perdamaian.
Jadi, radio yang merupakan medium penyebar maklumat pantas mampu berperanan secara khusus membawa mesej perdamaian ini selari dengan tonggak Malaysia Madani iaitu kemampanan dan kesejahteraan.
Dasar Membangun Malaysia Madani ini merupakan suatu misi dan visi membawa Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang maju dan sejahtera.
Ini bagi menjamin kesejahteraan dan perdamaian ditunjangi institusi kemasyarakatan yang diperkasa seperti radio untuk membawa nilai dan menjaga norma sosial, hormat-menghormati dan solidariti khalayak pendengar.
(Foto hiasan)
MENYANTUNI PENDENGAR DENGAN KANDUNGAN BERETIKA
Adalah menjadi harapan juga, para pembuat polisi dan keputusan disetiap stesen radio, baik kerajaan mahupun swasta, menghargai dan menghormati khalayak pendengar.
Yakinlah bahawa pendengar di Malaysia ini matang, bijak dan rasional.
Percayalah bahawa pendengar sentiasa dahagakan informasi dan penyampaian yang berkredibiliti dan menyenangkan walau dengan gaya yang santai.
Kelompok pendengar ini bukan mahu dihiburkan dengan celoteh merapu para penyampai, lawak jenaka ketawa keterlaluan, apatah pula menjadikan pendengar sebagai bahan sindiran melampau dengan kandungan yang tidak memberi manfaat.
Ditambah lagi dengan kerosakan bahasa yang dipromosikan sehingga hilang jati diri, adab dan sopan. Sehinggakan pemilihan perkataan yang tidak tepat seperti ‘korang’, ‘diaorang’, ‘kitaorang’ menjadi bahasa panggilan seharian dari anak-anak terbawa-bawa kepada pelajar universiti.
Interaksi semasa kuliah dan pembentangan tugasan seringkali terganggu dengan ganti nama berkenaan seolah-olah kata ganti nama diri kami, kita dan dia telah lenyap dalam kamus bertutur mereka.
Justeru, keyakinan yang tinggi terhadap kewibawaan radio melalui informasi, pendidikan dan kreativiti kandungan siaran radio sebagai suara kedamaian dunia tidak wajar disia-siakan.
Kini radio seluruh dunia telahpun terletak di telapak tangan.
Di hujung jari, penduduk dunia boleh memilih dan mendengar radio hanya dengan klik 'radio garden' tanpa perlu melewati sempadan negeri, negara mahupun benua.
Radio digital telah merapatkan sempadan dunia.
Oleh itu, sewajarnyalah setiap stesen radio mengambil peluang untuk mengangkat agenda mempromosikan perdamaian dan toleransi antarabangsa.
Bukan sekadar tema yang diraikan, namun tanggungjawab besar yang sanggup digalas untuk membangunkan masyarakat yang bertamadun tinggi.
PENULIS RAHMAHTUNNISAH SAILIN merupakan Pensyarah Penerbitan Radio, Program Komunikasi (Penyiaran), Fakulti Pengurusan dan Muamalah, Universiti Islam Selangor (UIS).
PENULIS DR. MD ROZALAFRI JOHORI merupakan Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa Inggeris dan Komunikasi, Fakulti Pengurusan dan Muamalah, Universiti Islam Selangor (UIS).
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.